Monday, December 17, 2012

Ocean! Ocean!

Sejak akhir, akhir ni, abah suka pergi ocean. Abah pergi pukul 11 pagi dan kemudian akan minta aku ambilnya dalam jam 6 petang.

Aku lihat disana ada golongan orang tua yang berkumpul main dam. Berbual-bual sesama sendiri. Tapi kadangkala aku juga dapat menangkap senyum-senyum sinis dikalangan mereka terhadap abah.

Aku tahu abah bukan orang tua biasa, yang tua kerana usia, abah tua kerana stroke. Abah sedikit nyanyuk kerana stroke. Meninggalkan abah di stesyen bas lama tu setiap hari kadangkala mengundang resah aku. Abah tetap nak pergi Ocean. Kalau aku tak hantar, abah akan kesana naik bas.

Risau andai abah jatuh dimana-mana, risau andai abah diragut atau dirompak, risau abah ditipu dan dibawa entah kemana. Risau andai abah buat yang bukan-bukan.

Kerana tak mampu berbuat apa-apa, aku cuma berdoa sahaja, moga abah selamat pulang setiap hari.


Sunday, October 28, 2012

Doaku..

Ya Allah,
Moga kau sabarkan hatiku melayan kehendak kedua ibu bapaku, seperti mana mereka melayan aku ketika kecil dahulu.

Ya Allah,
Kau lembutkan hati aku terhadap mereka, moga aku sabar dan tidak sekali-kali meninggikan suara terhadap mereka.

Ya Allah,
Ampunkan dosaku yang telah banyak membuatkan ibu mengalirkan air matanya, apabila bertelingkah denganku, apabila melihat tingkah ku.

Ya Allah,
Aku mohon, selagi hayat mereka, kau jadikanlah aku hambamu yang redha memikul tanggungjawab ini.

Ya Allah,
Kau hilangkanlah rasa cemburu ku pada orang lain yang hanya menghadapi mereka sekali-sekala, yang hanya melihat kami dengan pandangan mata, yang tidak perlu memikul keresahan yang aku tanggung.

Ya Allah,
Aku sedar, sesungguhnya aku bertuah kerana mempunyai mereka sebagai tempat aku bergantung dan meluahkan kasih sayang, aku belum kau kurniakan zuriat dan juga teman hidup, merekalah teman hidupku, walau terasa berat menghadapi kehidupan bersama mereka, terasa lemas dan leceh bersama mereka. Tetapi merekalah yang tidak pernah membuangku walau ketika aku sakit, walau aku ditimpa kecelakaan, malah akulah yang sering melupakan mereka diaat aku gembira.

Ya Allah,
Lembutkan hatiku terhadap mereka. Mohon dengan sangat Ya Allah.

Ya Allah,
Sungguh banyak kekasaran dan kesilapan tang telah aku zahirkan terhadap mereka, dan mungkin kini aku belum mampu mendidik egoku untuk meminta ampun kepada mereka, ampun kan aku Ya Allah. Moga kau temukan aku di hari raya akan datang, dimana semua orang memohon kemaafan. Atau kau lembutkan hatiku, dan menggerakkan aku untuk sentiasa memohon ampun kepada mereka.

Ya Allah,
Moga kau tenangkan hati setiap kali menghadapi mereka, bukannya dengan rasa berat dan keluh kesah..

Ya Allah..jadikanlah aku redha..

Saturday, October 20, 2012

Sedikit info tentang stroke





ingat stroke, ingat F.A.S.T.

F for facial dropping/fallen on one side. ask suspected person to smile.

A for arms weakness. ask to raise both arms and keep them there.

S for for slurred speech.

T for time. immediately call for ambulance.

Sunday, September 23, 2012

Selepas 2 tahun..


Keadaan fizikal abah sebenarnya semakin merosot berbanding sebelum abah kena 2nd stroke. Sebenarnya, bila pergi physio beberapa bulan dulu, abah banyak dinasihatkan pakar untuk selalu membuat physio sendiri, abah diminta untuk memakai sesuatu yang hampir seperti sarung tangan di tangan kirinya untuk mengelakkan tangan kiri abah semakin membengkok. Tapi, abah enggan.

Apapun, abah hidup normal, cuma perlukan perhatian, dan orang yang sakit memang kurang sabar, jadi orang yang sihat kena perlu banyak sabar.

Menjaga orang tua, memang macam jaga anak kecil, cuma kena lebih banyak sangat berhikmah. Sebab dia bapa kita, senssitif kerana sakitnya dan juga usianya.

Progress abah mendatar, kami dah biasa dengan masalah yang abah hadapi. Mungkin kerana itu blog ini dah tidak kerap aku kemaskini. Kerana semuanya menjadi rutin. Cuma setiap hari kena menambahkan dose kesabaran, kerana ada waktunya kerenah abah menjadi cabaran baru bagi kami.

Wednesday, September 12, 2012

sakit pinggang

sejak akhir-akhir ni abah selalu sakit pinggang. dah bawa ke klinik. tapi bila bab makan ubat abah enggan. kata abah dah banyak ubat abah makan.

akhirnya abah sekadar letak koyok sahaja.

mungkin ini akibat abah kerap baring atau tidur. waktu tidur abah lebih kepada waktu siang. itu antara salah satu kesan ubat stroke. abah sukar tidur malam.

jadi abah gemar keluar minum malam. kadangkala jalan kaki. jam 10mlm atau pergi minum jam 2 pagi.

hai...kalaulah aku boleh berhenti kerja.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Sunday, September 9, 2012

Tosei dan tosei

setiap pagi lepas solat subuh, aku biasanya bangun jam 6.30 pagi. Lepas tu abah akan bising-bising dah ajak aku pergi warung capati power di Bukit Katil. Aku selalu mengantuk, mamai, dengan tak mandi, salin baju je, pergi lah bawa abah, kekadang abah tidur sekejap atau aku yang tertidur then barulah dalam jam 7.30 kami pergi.

Selera abah dekat warung ni memang best. Abah akan makan 3 keping, dan  hari sabtu haritu, abah makan 4 keping tosei. pergh.

Tosei special dari Warung capati, kari sedap ooo

Memang selera abah dekat tosei ni menggerunkan aku jugaklah. Sebab aku pun cuma makan sekeping je setiap hari. Abah suka sungguh kari ayamnya.

Tapi makanan lain abah tak makan sangat. Abah memang kurang selera makan. Cuma tosei ni je yang abah cukup gemar. Sayang warung ini cuma buka waktu pagi.

Tuesday, September 4, 2012

sabar

Abah: kenapalah abah tuhan bagi sakit macamni. Ada orang lain buat jahat macam-macam tak pula kena stroke.

Aku: abah, abah nak dengar cerita tak?
Abah: apa?
Aku: ada kawan ayu ni ustaz tau bah.
Abah: abis tu?
Aku: dua tahun lepas,dia kena denggi. Teruk,masuk hospital. Buat pemindahan darah, sekali kena HIV.
Abah: alamak! Teruk..teruk.
Aku: dia takde buat benda tak senonoh.
Abah: yelah,kesian pulak.
Aku: ada ustaz2 kawan2 dia sisihkan dia.
Abah: yelah,hiv orang pandang teruk.
Aku: walaupun sebenarnya.. Hiv boleh 3 cara je. Sex, ibu ke anak dan pemindahan darah. Dadah pun sebenarnya susah nak kena.
Abah: yelah orang tak tahu.
Aku: tuhan pilih abah, sebab tuhan nak hapuskan dosa abah,sebelum abah jumpa Dia,kalau abah sabar.
Abah: jauh pula kedai ni.
Aku: rilek.bah. Lagi 5 minit lagi kita sampai.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Thursday, August 2, 2012

Abah dan ramadhan 2012



30 Julai yang lepas, genaplah abah berusia 70 tahun. Dan abah menempuh Ramadhan ini dalam keadaan, dia bukan lagi abah yang aku kenal.

Tergiang-giang ditelingaku, ramadhan-ramadhan ku sewaktu aku anak-anak. Abah akan mengingatkan aku untuk niat puasa, pada semalam sebelum aku tidur. Abah sebut dan minta aku ulang, hingga aku remaja, hingga aku dewasa, bila abah lihat kelibat aku masuk bilik nak tidur, abah akan ingatkan aku.

Aku hafal niat puasa, dari abah, tak perlu cari buku atau belajar dari guru agama. Abah lengkapkan kami adik beradik dengan asas agama yang kukuh.

Tapi diusia 70 tahun, abah bukan lagi tempat kami bergantung, tetapi keadaan menjadi sebaliknya.

Setakat ini, abah cuma mampu berpuasa selama 3 hari. Berbanding tahun lepas sewaktu permulaan stroke, abah cuma tidak berpuasa dua hari sahaja. Aku syak, daya fikiran abah semakin lemah akibat ubatan dan juga stroke.

Aku harap, keuzuran abah kerana stroke, boleh dianggap sebagai penyakit yang tiada penawarnya, itu satu syarat membolehkan tidak berpuasa, dan sekadar membayar fidyah. Aku tak boleh bayangkan bagaimana abah nak mengganti puasa di hari bukan ramadhan.

Abah kini umpama anak-anak yang belum baligh. Cuma abah mudah marah. Membuatkan orang-orang disekelilingnya mahu atau tidak, perlu banyak sabar. Bukan tak pernah, aku yang kurang sabar ni mengeruhkan keadaan.

Terfikir aku, bagaimana Syawal kali ini bagi abah. Tahun lepas semua anak lelakinya ada memimpinnya ke masjid. Tahun ini semua mereka giliran dirumah mentua.

Wednesday, July 18, 2012

Sementara dia ada


Lagi berapa lama? 10 tahun, 20 tahun? Hanya Allah yang tahu. Kadangkala aku kesal juga dengan sifat aku yang mudah marah, walhal ini ajalah peluang aku nak berkhidmat dengan abah dan ibu. Abah aku rasa dah masuk kategori tuhan tak berapa kira dosanya. Abah dah banyak tak dapat fikir dengan rasional. Kadangkala abah bercakap, sahaja tanpa kira betul butirannya. Macam anak-anak, mereka tidak punya daya fikiran yang rasional.

Sebab aku panas baran, tuhan beri peluang untuk aku perbaiki diri dengan hadirnya abah disisi kami saat keadaannya bukan seperti abah yang dulu.

Kadangkala, memang terasa berat bahu memikul. Dengan keadaan ibu pun yang kadangkala mengundang risau difikiran aku, dengan kerja yang dah semakin terabai namun ada sahaja yang menuntut fokus kembali, dengan runtunan hati yang kadangkala dilayan juga. Dan kadangkala terfikir jua, umur yang dah menginjak 30 an ni, kesihatan aku bagaimana pula. Juga sesekali datang risau, andai ibu pergi dulu..

Tapi bila difikir balik, hidup aku cuma penat sikit,tidakklah serabut dan pelbagai masalah. Benarkan, tuhan menguji dengan apa yang dia mampu.

Tadi, waktu aku potong kuku abah, aku terfikir, banyak dosa aku pada abah, kadangkala marah dan jerkah abah bila sabar menghampiri sifar. Terfikir juga aku, berapa kali aidilfitri lagi dapat aku mohon maaf dan cium jemari yang sedang kupotongkan kukunya tu.

Dan aku tahu, insan seperti aku, ramai. Dan kadang kala aku harap aku dapat melihat mereka..dan senyum..sambil ucap..sabar, awak kuat, dan apa yang awak buat..Allah tahu.

Moga, diakhir waktu aku nanti, akan ada orang yang bersabar dengan aku.

Friday, July 13, 2012

batuk

Bila aku kena batuk, abah juga akan batuk. Aku mudah kena batuk sebab aku memang ada asthma. Haritu aku dah fikir nak beli mask, tapi belum sempat aku ada masa untuk beli, abah dah kena batuk.

Bila abah batuk,abah batuk amat teruk,sampai muntah dan tak selera makan. Bila tak selera makan abah akan amat lemah. Beli tosei tanak,beli itu tanak, mskan pun sesudu. Lepas tu jadi sesak nafas.

Bila naik kereta dengan aku, anah marah sebab aku batuk-batuk. Ya allah stress jangan cakap.

Ulang alik ke hospital dan klinik.

Ya ni sesi meluah perasaan. Kalau aku celoteh kat fb org akn marah aku balik...cakap tak sabarlah tak redha lah. Yang cakap macam tu aku doalan semua bapak depa kena strok. Baru depa faham. Ni blog aku. Aku manusia biasa yang bodoh dok meluah kat blog. Jap lagi solat baru ngadu kat tuhan. Siapa komen menyakitkan hati kat sini,semua aku doa bapak korang kena stroke. Jangan risau doa orang bodoh dan stress tak makbul.

Esok dan lusa dahla kena pergi kerja pagi-pagi, sebab ada karnival koku. Ni kul 12 baru balik dari hospital, abah cabut je bila sesak nafas dah hilang. Kat hospital pula nuat aku stress lagi dgn situasi hospital.

Dah..aku nak gi makan ubat, batuk belum sembuh.


Published with Blogger-droid v2.0.4

Saturday, June 30, 2012

sepetang berborak politik

Setelah hampir setengah bulan.. Barulah abah muncul dikedai mamak. Berbual dengan kawan-kawannya. Tapi yang aku boring,sekarang ni hot topic ialah politik. Hehe. Akula yang boring tengok apek ni debat dengan abah.


Published with Blogger-droid v2.0.4

Tuesday, June 26, 2012

Sisi gelap warfarin

Jumaat lepas, 22hb june, abah discharge dari hospital. Seminggu abah di wad kerana kesan warfarin. Begini, abah jatuh dua minggu lepas, lebam muncul 2 hari lepas kejadian itu, dua kali kami ke klinik kesihatan dan sekali ke klinik swasta, sakit abah tak reda malah makin teruk, abah hampir tak boleh berjalan.

Sebenarnya, pesakit stroke yang ambil warfarin, perlu segera dirujuk ke hospital, andai lebam teruk akibat jatuh. Ini kerana, warfarin perlu dihentikan dan pesakit perlu dimonitor di hospital. Jika tidak pendarahan yang berlanjutan membuatkan pesakit stroke amat derita, dan ubat tahan sakit dari klinik adalah memudaratkan pesakit.

Ini adalah peringatan buat semua ahli keluarga stroke survivor.

Abah menahan sakit, sukar nak duduk, sukar nak baring dan bisa bila berjalan.

akhirnya setelah seminggu tiada tanda pulih, baru kami bawa abah ke hospital.

Abah terus di warded apabila aku memberitahu, abah mengambil warfarin dan selepas doktor memeriksa lebam abah yang merebak agak teruk dibawah pinggang hingga ke belakang lutut.

Tiga hari selepas diwarded, barulah abah sihat semula, dah boleh ketawa pun.


Kepada semua ahli keluarga pesakit stroke, tabah dan teruskan perjuangan. Mereka perlukan kita.

Monday, June 11, 2012

moga kesulitan dipermudahkan

abah jatuh,hari selasa yang lepas. mulanya tiada apa-apa kesan,tapi mula khamis punggung abah lebam. lebamnya besar,dan abah mula susah nak bangun dan baring. abah mengaduh sakit. ibu bawa ke hospital khamis tu. tapi tetap tidak lega.

abah perlu bantuan untuk bangun dari katil. aku rasa bertuah kerana tubuhku tidaklah kurus cekeding seperti diidamkan,kerana tubuhku lebih besar dari abah,abah rasa selamat nak berpaut,untuk bangun dan berdiri bila saat macamni.

ibu sukar nak tidur kerana abah amat kerap mengaduh minta diurut ataupun disapu minyak.

tadi lebih kurang jam 9 malam aku bawa abah ke klinik dr abraham. sungguh seksa abah nak masuk apatah lagi duduk dikereta,berpeluh dan menggigil abah menahan bisa sakit yang menyucuk sambil mengeluh dan merayu pada tuhan agar sakitnya dikurangkan. sayu aku dengar,dah lama aku tak menitis air mata kerana abah. kalini waktu memandu,aku keraskan hati dan banyak istighfar pada yang esa.


selepas disuntik,bali rumah,abah macam lega sikit. dan aku keluar sebentar dengan kawan-kawan,itu sahaja cara aku untuk melupakan sebentar kerisauan pada hati.


pulang tadi abah mula mengaduh sakiy lagi. ikut hati,aku nak bagi pil tahan sakit yang diberi,tapi doktor dah pesan,pil tahan sakit hanya mula esok. aku dan ibu cuba tuam tuala sejuk,kata doktor sepatutnya masa awal abah jatuh,kami tuam dengan ais,bukan urut atau letak minyak. jadi tadi kami cuba tuam ais.tapi abah mengaduh dan menjerit. akhirnya kami cuma dapat minta abah bersabar.

saat ini aku cuba genggam ayat quran "setiap kesulitan pasti akan datang kelapangan.setiap kesulitan pasti akan datang kelapangan".


Published with Blogger-droid v2.0.4

Sunday, May 27, 2012

kesan sampingan

dari along, kami dapat tahu ubat stroke mempunyai kesan sampingan iaitu meningkat kan hormon testorone. kalau ini fakta,aku harus berkongsi dengan pembaca. supaya tingkah laku pesakit stroke boleh difahami.

tapi kata teman ku,sebenarnya ubat warfarin kesan sampingan yang itu tidaklah tinggi berbanding ubat-ubat tradisional yang lain.

apa pun,penjaga pesakit stroke memang kena banyak sabar.

semalam aku desak abah habiskan ubat batuk,abah kata aku dera orang tua..hahahaha


Published with Blogger-droid v2.0.4

Friday, May 25, 2012

senarai ubat abah updated


Sekarang ni abah cuma makan 4 jenis ubat sahaja, tapi dose nya agak tinggi.

Pagi:
Phenytoin (100mg), 3 biji

Untuk mengelak sawan.

Folic acid 5mg, 1 biji

vitamin

Malam:
Simvastatin up 40, 1 biji

Darah tinggi

Warfarin (Orfarin 3mg), 1 biji
Stroke

Aku rasa kerana Phenytoin, abah mudah mengantuk. Cuma abah, mula batuk sekarang, berjangkit dari aku. Aku dah sembuh, abah pula kena, dan bila kena batuk, abah akan amat lemah, harap tak sesak nafas.




Monday, May 21, 2012

Selamat Hari Ibu!

Abah pun turut menggayakan cermin mata hitam, bila ibu terpaksa memakai cermin mata hitam lepas pembedahan kecil tu.

Ibu baru lepas pembedahan kecil akibat selaput mata kerana diabetic. Kadang-kaddang aku lihat ibu, sesekali imbas, aku fikir ibu ni selamba je, macam tak risau. Dulu pun ibu pernah kena bisul sebab diabetic, pun kena turis juga bisul tu di klinik kesihatan, berhari juga ke membersihkan luka.

Bagi aku, ibu memang kuat sangat. Dahlah melayan kerenah abah yang tak pernah berkurang, dan dengan aku juga yang jauh dari bayang anak solehah.

Ibu letakkan abah ditempat yang paling utama, dan diri ibu yang paling akhir. Abah tak pernah berkompromi kalau ibu sakit-sakit badan, abah tetap minta dibawa ke kedai mamak mencari tosei. Ibulah yang memandu, walau sakit, walau pening, walau demam. Terutamanya waktu aku bekerja. Aku tahu walau abah kadang kala mengeluarkan kata-kata kasar pada ibu akibat tidak rasional nya kini, abah akan lebih parah tanpa ketiadaan ibu.

Abah pernah cuba memandu kereta apabila ibu lambat bersiap untuk minum petang, ibu kejar abah jalan kaki! Nasib abah takut dan berhenti sebelum sampai jalan utama. Kalau ikut geram aku, tindakan abah tu...aku tengok abah macam kecik je, kalau budak mungkin dan aku tampar bila aku mendengar perkara tu sebaik sahaja aku pulang dari kerja.

Kadang-kadang aku cuma pandang ibu, terlihat kedut-kedut diwajah ibu. Ibu kuat, sangat kuat. Aku ni, tak pernah tahu nak bermanja atau meluahkan kasih sayang pada ibu. Tapi aku tahu, tanpa ibu, dunia abah akan lebih perit.

Wednesday, May 2, 2012

Izinkan pengembara itu berehat

waktu ni menunggu angah di plaza tol kajang, abah dah marah-marah dah.

kata ibu, mungkin lepas ni kalau ada kenduri kahwin lagi, ibu akan tumpang anak saudaranya dan pergi sekadar balik hari. Dan abah akan dibawah jagaan aku sepenuhnya, sepanjang ketiadaan ibu.

Dulu abah suka travel, amat suka. Selalu bawa kami berjalan-jalan, abah selalu kata abah suka bawa van, sebab mudah nak bawa jalan-jalan, kalau atur kerusi, dalam van boleh bentang tilam, tidak perlu hotel.

Tapi sekarang, travel membebankan abah. Lebih-lebih lagi sejak abah hampir kena stroke kali kedua, abah hanya mampu tidur sahaja. Pergerakan abah amat terbatas, sikap sabar pula dah tinggal seinci cuma.

Dalam kereta lama-lama, memenatkan abah. Dan kalau waktu tu abah dah letih, abah akan cranky, abah mudah marah, silap-silap abah nak memandu, agar cepat sampai. Dan menunggu juga amat sukar bagi abah. Abah tak boleh duduk lama.

Abah..abah.

Wednesday, April 18, 2012

Ibu, srikandi kami

Iqa, Ibu dan angah, waktu kami ke pulau pangkor 2011

Ibu adalah teman hidup abah yang paling akrab. Walau aku bukanlah akrab dengan ibu, dan juga bukan seorang anak yang lemah lembut kepada dua ibu bapanya, akhir-akhir ini, aku banyak belajar tentang ibu dan abah. Ibu, cinta nya pada abah, tidak bertepi. Dan ibu kini umpama nyawa abah. Abah tak boleh berenggang dengan ibu, akan resah lah abah, walaupun sekejap.

Bukan tidak pernah ibu meluahkan bosan dengan keadaan begini. Kerana kami manusia, kami juga kadangkala mengeluh, dengan keadaan abah. Ibu lebih lagi, sebelum abah kena strok, ibu adalah wanita yang amat berdikari, biasa dengan ketiadaan abah. Lantas bila keadaan ini terjadi, ianya merubah kehidupan ibu. Abah perlukan ibu, 24 jam.

Dari ibu, aku belajar erti setia. Aku belajar betapa hampir walinya letak seorang isteri. Walaupun bukan sekali dua ibu mengalir air mata kerana abah, namun ibu tetap bersama abah. Ibu layan semua kehendak abah. Abah yang permintaannya kena ditunai segera mengalahkan jaminan 30 minit pizza dominos. Bila abah nak sesuatu, superman pun akan mengalah. Abah, sudah agak tidak rasional, jadi kadang-kadang kata-katanya tidak sedap didengar, tapi ibu, kerana makamnya seorang isteri, sedihnya cuma beberapa detik, terasanya cuma beberapa saat, ibu akan tetap melayan kehendak abah.

Kadangkala bila aku tiada, ibulah yang memandu jam 2pagi membawa abah menjamah tosei dikedai mamak. Walaupun penglihatan ibu kini semakin lemah.

Minggu ni, 19 dan 25hb adalah tarikh pemeriksaan mata buat ibu dihospital, ibu pengidap diabetik yang serius. 9hb 5 ibu akan menjalani pembedahan mata, untuk membuang katarak akibat diabetik. Ibu mungkin akan berada di wad. Bagaimana abah dirumah?

Abah pasti akan memanggil-manggil ibu, abah pasti akan resah dengan hilang sebentarnya ibu.

Kadangkala aku terfikir, bagaimana kalau ibu pergi dulu? Subhanallah, moga tuhan iring kan juga ketabahan buat kami, andai itu berlaku.

Tuesday, April 17, 2012

moga sabar tidak bertepi

malam ni seperti biasa aku bawa abah supper dikedai mamak. aku tengok abah biasanya cuma berselera makan dikedai mamak,tak tahu kenapa.

tiba-tiba sebelum makanan sampai abah hentak-hentak meja dengan tangan kirinya. terkejut,aku tanya abah kenapa.

kata abah,abah marah sebab sakit abah tak sembuh-sembuh,abah kata tuhan tak habis-habis lagi seksa abah,puas abah amalkan doa,nasihat orang alim tu membohong,puas abah makan ubat semua tabib menipu.

aku kata pada abah...

"kalau abah sabar..tuhan bagi syurga"

jawab abah...

"sabar abah dah habis"

akhirnya aku diam,biarkan abah mengomel. andai omelan itu boleh kurangkan sedikit derita abah. aku tahu,bukan mudah abah melansungkan hidupnya sekarang.


Published with Blogger-droid v2.0.3

dua biji motor

dua buah motor ni sedang aku panaskan enjinnya. motor rg sport lama tu, dulu kegilaan aku. pun abah beberapa kali nak cuba bawa. beberapa kali aku membebel dekat abah,sebab risaukan keselamatan abah.


motor elegan tu...kalian rasa abah mampu bawa tak?


Published with Blogger-droid v2.0.3

tak boleh...

Pagi ni waktu sarapan di warung capati jam 7.15 pagi,abah kata denganku abah nak bawa motor adik. puas aku cakap...tak boleh.


motor adik adalah elegant modenas, motor yang aku beli disabah. motor skuter tu besar. bahaya untuk keadaan abah.


entahlah. dari dulu abah mengomel nak bawa motor. abah hanya boleh bawa motor oku sahaja.yang beroda empat. tapi...tetap bahaya. sebab abah dah mula nyanyuk. takut nanti abah sesat ataupun tak perasan pembahagi jalan.


rasanya kunci motor tu aku kena sembunyikan. adik letak motor tu sementara dirumah ibu.


sejak rumahtangga ku gagal. aku tinggal dirumah ibu pada hari bekerja. ada hikmahnya. ibu ada tempat mengadu..dan abah kadang-kadang mudah nak keluar malam untuk makan tose dengan aku.


fikir-fikir balik, mungkin tuhan tak mahu menguji aku lebih lama dengan ujian yang berat itu. iaitu tanggungjawab aku sebagai anak dan juga isteri. tuhan takkan menguji hambanya dengan ujian yang tidak mampu digalas..kan?


dan sehari bersama insan yang kita sayang adalah lebih baik dari seumur hidup dengan insan yang kita tak sayang...atau lebih tepat dalam kes aku..insan yang tak menyayangi aku selayaknya..


Published with Blogger-droid v2.0.3

Thursday, April 5, 2012

detik


Lama tak aku tak menulis  tentang abah. Abah sekarang tak se aktif dulu. Abah tak larat jalan jauh. Jadi biasanya ibu atau aku akan bawa abah pergi sarapan dan juga mengeteh.

Kebanyakan waktu..abah sekadar menonton tv atau tidur.

Abah juga kadabgkala dah jarang bercakap. Abah semakin diam.

Published with Blogger-droid v2.0.3

Tuesday, February 7, 2012

Ke hospital

abah batuk-batuk, demam dan paling kritikal..tiba-tiba abah diserang sawan, pada hari ahad yang lepas. Nasib angah dan adik ada menguruskan ambulan dan semuanya, aku yang dirumah sendiri terpisat-pisat bangun.

Abah hampir kena stroke kedua.

Cabaran hebat adalah menjaga abah di wad. Abah banyak ragam, meronta nak balik dan sebagainya. Abah tak boleh duduk diam dan cakap bukan-bukan.

Yang paling aku bengang..setiap masa abah bertanyakan orang rumah aku. Haihhhhhhhhhhhhhhh.

Tuesday, January 17, 2012

Ingatan tu milik tuhan juga

Abah menandatangani borang izin nikah.

Waktu hari perkahwinan aku, aku amat sedih untuk abah. Sedih lihat abah macam terpinga-pinga disaat orang ramai masa tu. Abah gembira jumpa saudara, tapi disitu juga amat kelihatan..ingatan abah dah semakin luput.

Sebenarnya, aku mengharapkan abah membaca doa sewaktu merenjis bunga mawar dipelamin. Seperti yang selalu abah buat dimajlis-majlis perkahwinan dahulu. Tapi, aku kena terima abah dah tak mampu lagi.

Abah juga dah tak boleh mengetuai majlis-majlis tahlil, disebabkan abah dah lupa doa-doanya, dan abah mudah keliru dan juga seolah hilang dalam pemikirannya. Orang kata abah selalu merapu, bukan orang kata, kami sekeluarga pun dah mula masak dengan situasi itu. Kesian abah, kadangkala aku atau ibu mula meninggikan suara kerana soalan sama bertalu-talu yang disoalkan.

Abah dah lupa yang abah baru bertanya atau abah inginkan perhatian dari kami?

Cuma tuhan yang tahu, apa sebenarnya yang abah fikirkan.