Sunday, June 26, 2011

Kata abah

Kata abah bila dia sakit dia hilang semuanya, harta..itu kata abah. Tapi bagi aku, bila abah sakit, kami adik beradik mula letak melawat abah dalam agenda, kami mula belajar tanggungjawab. Abah sakit waktu kami semua dalam pertengahan umur. Along dan angah nak dekat 40an dan aku pula dah melangkah 30an, adik pula walau masih 25an, tapi adik sejak dulu sentiasa dipaksa untuk menjadi matang. Sampai sekarang gambar kahwin adik masih tiada di dinding ruang tamu rumah, kerana banyak keperluan lain selain dari nak menghantar gambar kahwin adik.

Urusan tanah abah dikampung hampir selesai, benarlah kerana tanah putus saudara, kerana lukanya hati abah, kini segala memori di kampung Parit Othman, Batu Pahat tinggal kenangan. Kami dah tiada kampung. Tempat kebahagiaan abah telah tiada. Dan aku tahu sedih kami tidaklah setanding dengan sedih abah yang telah berbelas tahun mengusahakan tanah kampung itu. Disitulah kami adik beradik sedikit sebanyak tahu yang kami ini berasal dari orang jawa. Disitulah adik belajar berenang, hingga boleh menyelamatkan orang yang hampir lemas, disitulah angah belajar petik kelapa sawit, disitulah aku belajar tanam nenas dan ubi kayu, disitulah along boleh berbangga jadi pekebun walau sekadar bergambar dengan kereta sorong untuk punggah kelapa.

Dulu, sewaktu tinggal dengan abah, sewaktu umurku 12tahun, kampung Parit Othman adalah 1/4 dari hidup kami, belajar goreng ikan dan merasa masakan abah. Kami juga belajar pakai but getah, dan hingga kini aku bangga kerana aku kenal jenit tanah gambut, setiap kali dikelas geografi disekolah dulu, kawan-kawan aku dibandar manalah kenal apatah lagi bermain dan tertanam hampir seluruh kaki ditanah gambut itu.

Tanah kampung itu kini telah dijual dan rumah abah akan dirobohkan kerana abah tidak mampu lagi bersama memori-memori abah dirumah itu.

Gambar raya 2008, kali terakhir kami beraya di Parit Othman, abah dan Najla berlatarbelakangkan suasana didepan rumah abah
Benarlah kata orang, harta dunia tidak akan kekal...dan benarlah kata orang, anak-anak dan keluarga adalah harta yang tak ternilai.

Raya dirumah abah..dari blog along

Tuesday, June 21, 2011

Usaha lagi dan telefon

Abah sekarang ada ikut berurut di Bukit Katil, rm50 untuk dua jam. Tuan Haji Rustam, Taman Saujana Seksyen 3. Abah suka tukang urut ni sebab dia berbual dengan abah banyak perkara. Lebih-lebih lagi sebab dia ni adalah pesara komando, jadi banyaklah cerita yang dia bualkan dengan abah.

Nasib aku bertugas sekolah petang, jadi sempat juga aku memecut bawa bah kemana-mana.

Harini aku bawa abah pergi Melaka Sentral. Abah nak beli telefon bimbit yang baru yang boleh ambil gambar. Kata abah telefon abah yang lama tak boleh telefon dan sms, aku rasa telefon lama tu boleh telefon, malah aku belikan abah dua bulan lepas abah kena stroke haritu, tapi abah sukar nak guna fungsi telefon tu.

Aku tak tahulah abah beli telefon baru ni boleh guna ke tak.

Saturday, June 18, 2011

Selamat Hari Bapa dan percutian kami


Cuti sekolah yang lepas, kami semua ke Pulau Kapas bersama abah.







Abah selalu ajak kami bercuti, abah kata..nanti nak ajak kami ke Pulau Besar...hmmm..tak tahulah akan tercapai ke tak hajat abah tu.

Thursday, June 2, 2011

Dah hampir setengah tahun

Dua bulan lepas
 
Minggu lepas
Abah makin kurus, tak tahu kenapa, selera makan abah agak kurang, abah kerap makan tapi sikit-sikit sahaja. Abah dah beransur boleh menguruskan diri sendiri, nak buat semua sendiri, adakalanya. Tidak mahu lagi dimandikan atau dipimpin. Namkun mental abah semakin lemah, abah cepat marah, cepat sedih dan amat pelupa.

Aku juga dah boleh balik kerumah aku, dan cuma pulang kerumah ibu sekali-sekala, kiranya aku ni "daughter on call" haha, kadang-kadang sedang aku buat kerja dirumah Bertam, abah akan telefon dan suruh aku bawa dia makan malam.

Tapi sekurang-kurangnya, abah dah jarang mengeluh, tidak lagi sejuk-sejuk yang amat..dan gangguan halus pun dah hampir tiada. Cuma abah rajin bertanya, sebab pendengaran abah dah makin lemah, jadai kadangkala apa saja pergerakan akan meransang sikap ingin tahu abah.

Dan aku sedar, aku takkan dapat abah aku yang dulu, yang rajin belikan kami sarapan, yang boleh buang sampah didepan atau juga yang boleh betulkan paip yang rosak dirumah. Abah sekarang sukar walau untuk menyarungkan baju kebadan.

Lantas, aku menjadi terfikir juga kadangkala, berapa lama lagi masa yang aku ada bersama abah. Abah amat gembira bila anak cucu memenuhi rumah, dan abah paling suram bila dengar anak-anaknya tidak dapat pulang pada hari minggu.

Tuesday, March 29, 2011

Disatu detik ini

Abah nampak makin tua. Kadang-kadang aku lihat wajah abah, dah mula kecewa dengan aku yang selalu mula menghilang, dua hari tak balik jenguk abah.

Dunia kadangkala sukar untuk aku fahami, dan masa yang sama melawan kehendak diri, dan lebih perih lagi bila mengetahui apa yang dikejar sekadar khayalan.

"Tuhan, leraikanlah dunia, yang mendiam didalam hatiku, kerana disitu tidak ku mampu menanggung dua cinta.."

Abah, moga abah tak melihat penghujung hidup aku yang semakin kosong.

Wednesday, February 23, 2011

Terima seadanya

Baru pulang dari Jinho, aku tengok abah seronok disana, dengan warga-wagr senior yang lain, sesungguhnya sama seperti keadaan pusat jagaan orang-orang tua, dan mereka gemar dengar lawak-lawak jenaka petugas disitu.

Mahu atau tidak, bila aku tengok wajah abah dalam-dalam..aku sedar aku takkan dapat abah yang dulu, abah yang pendiam, abah yang serius, abah yang dulunya memang digeruni oleh lelaki-lelaki yang cuba-cuba nak berkawan dengan aku (wakaka), mungkin inikah antara doa mereka..biar Pak Jalil hilang taringnya? lol.

Sejak aku dewasa, abah paling rapat dengan aku, kalau pulang cuti, abahlah yang sentias belikan sarapan, hidangkan teh diwaktu petang, air milo diwaktu pagi, untuk aku dan ibu. Mungkin kini giliran aku pula. Ya, luahan semalam, nampak sangat aku pentingkan diri, lebih pentingkan tidur aku dan game sim aku yang buang masa juga kadangkala.

Abah sekarang mudah terharu, mudah menangis, tanpa segan silu, dengar berita tentang pelajar mesir yang selamat pulang, juga abah menitis air mata, dengar radio ceramah dalam kereta ku, juga abah menangis, kalau dulu, lihat abah mengerang sakit kena gigit tebuan pun abah akan halau aku keluar dari bilik.

Abah kini tanpa ego, dan abah benar-benar kelihatan tua. Tempoh dua bulan, stroke merampas semua. Tapi bukankah benar, segalanya pinjaman. Sekurangnya, tuhan beri aku lihat perubahan abah, tuhan tidak mengambil serta merta.

"Abah, rumah acik tu jam semua dah mati, sinki pun bocor sana-sini" kadangkala aku luah juga, walaupun abah akan sekadar mengeluh, kerana abah tidak lagi mampu buat apa-apa.

Teringat dulu, aku selalu mengadu di facebook, bila abah kerap belikan sarapan, menyergah aku diwaktu pagi bila aku dirumah aku, aku rasakan tiada privasi dan aku rasakan abah penyebab berat ku bertambah. Tapi kini aku rindu itu semua..

Tuesday, February 22, 2011

Luahan perasaan

Sejak semalam, kaki abah bengkak..kiri dan kanan. Aku tak faham kenapa. Tukang urut kata sebab jantung. Hmm..abah punya temujanji doktor masih ada sebulan lagi, buat sementara ni tak tahulah apa yang boleh buat. Bila kaki dan sendi abah sakit-sakit, agak payah abah nak berjalan. Jalan keluar rumah akan jadi agak mustahil.

Semalam aku balik rumah aku sekejap.Lepas kerja. Jam 9 malam abah dah telefon suruh aku balik. Dan ibu kata abah tak mahu ambil wudhuk sendiri melainkan aku yang ambilkan. Geram juga aku. Entahlah sebagai orang muida, tipulah kata aku tak memberontak. Anak-anak yang lain boleh gembira dan tenang dengan hidup masing-masing, aku disini sebab bujang, lalu akulah yang perlu korbankan hidup aku. Banyak kali aku cuba minta diri aku bersabar, pujuk diri, ni dah bahagian aku.

 Secara jujurnya, kadangkala ada rasa nak lari, nak tinggalkan semua, dah berapa lama aku tak dapat tidur dengan nyenyak macam masa aku tinggal sendirian, dan berapa lama dah aku tak main game sepuasnya. Di tempat kerja pula, mereka nak bagi aku kerja macam masa aku dulu-dulu juga, buat montaj lah website lah. Kerja-kerja tu..kalau macam dulu, masa aku mengadap PC aku yang power dirumah aku sendiri, lainlah cerita. Ini dengan laptop kecil dirumah ibu, manalah mampu buat kerja-kerja tu. Dahlah aku pula, jenis kalau buat kerja, aku benar-benar perlukan masa sendirian, khusyuk, waktu tu baran aku ditahap maksima, kalau panggil aku masa aku khusyuk mengadap komputer, aku akan rasa nak lempang je orang yang panggil.

Tapi..nak buat macamana...dah takdir aku macamni.