Saturday, July 30, 2011

Fisioterapi

Dihospital ada dua unit, fisioterapi dan unit cara kerja. Abah dirawat diunit cara kerja, aku pun musykil kenapa. Sekarang ni..yang paling sukar adalah jari-jari sebelah kiri abah.

Tapi, kaki kiri abah juga sebenarnya masih sukar nak bengkok, abah tak boleh bersila lagi, belum lagi. Pernah sekali, aku cakap pada abah, abah patut rasa gembira sebab abah sekarang dah boleh jalan kaki agak laju juga berbanding dulu. Tapi abah kata..

"Lama abah tak sujud pada tuhan, kat sejadah, sebab tu abah masih lambat baik..doa abah belum diterima, sebab abah belum boleh sujud"

ya, sujud..adalah satu anugerah yang terhebat..


Wednesday, July 27, 2011

Abah suka jalan-jalan

Aku rasa tajuk aku makin lama makin macam budak-budak dah. Haha.sabar ajalah. Abah sekarang suka jalan-jalan, jalan kaki atau naik kereta dengan aku. Setiap hari mesti buat. Rutin aku sekarang ni, pagi kalau aku tak sarapan dengan abah dan ibu, aku tidur dulu, lepas tu jam 9pagi aku akan bawa abah ke melaka sentral, jalan-jalan sajalah, tengok barang, abah dah tak asyik beli beg lagi, tapi abah dah suka beli seluar pendek dan seluar panjang, sekali beli 5 helai. Aku cakap dengan adik jurujual tu, minggu depan, habislah semua seluar yang dia jual, abah sapu.

Dan abah kalau pergi atau suka satu kedai, abah akan pergi satu keadi tu je. Kat melaka sentral abah wajib pergi Restoran sup utara, kecuali ibu dah marah-marah berleter sebab dah masak di rumah, tapi kadangkala senyap-senyap abah ajak aku juga, aku layan jelah.

Tak pun, abah akan jalan sendiri pagi tu, tu kalau aku sibuk buat kerja sekolah, macam pagi ni. Aku kemas rumah yang dah macam tonkang kena taufan, kemas ruang tamu dan bilik2 je, dapur...ibu punya hal. Abah jalan kaki seorang, aku tak risau sangat sebab aku dah tahu port-port abah, tapi yang aku agak horror pagi ni, bila abah keluar jam 9.45..sampailah aku dah kemas rumah..jam 10.30, abah tak balik2 lagi, dan telefon abah pula tertinggal ditempat charger, aku pun segeralah start kereta dan cari abah...pusing taman permainan dulu, tak nampak..jadi terus ke kedai makan maimun, kusss semangat, ada dekat situ, abah komplen2 kata telefon hilang, berpeluh abah aku tengok.

Aku pesan abah, kalau jadi lagi macamni, singgah kat kedai telefon hotlink, tempat abah selalu beli topup tu, amoi kat kedai tu aku dah tinggalkan number fon aku, number fin dia pun aku dah ambil, dia kenal benar dengan aku dan abah, aku pun dah janji kalau aku kawin aku jemput dia datang makan nasi minyak, kalaula..



Wednesday, July 6, 2011

Abah nak..


Abah nak naik moptor, sebab abah nak jalan-jalan macam biasa, abah bosan duduk rumah saja dan tengok tv saja, ataupun tidur saja. Malam semalam, abah ajak aku pergi makan tomyam dan sambil tu abah kata nak beli motor auto. Puas juga aku memujuk abah, terang pada abah yang kaki kiri abah tak kuat, bagaimana nak memandu motor, nanti kalau adik balik bolehlah ajar abah bawa kereta. Abah merungut-rungut, dia nak praktis naik motor.

Dalam pada tu aku juga perasaan, abah mula jadi halimunan, sebabnya bila abah keluar dan buat pesanan di restauran, orang akan tanya balik pada aku atau ibu, sebab kata-kata abah tak begitu jelas. Terutama kalau orang muda, seboleh mengelak nak berkomunikasi dengan abah, kalau pakcik-pakcik mereka akan sabar dan cuba dengar betul-betul apa yang abah cakap. Wajah abah agak kecewa bila melihat orang yang ambil pesan tu tak tanya abah, tapi sebaliknya tanya aku atau ibu.

Bila aku fikir balik, memang situasi abah berubah jadi kanak-kanak, yang tutur kata mereka belum lagi kita fahami, bila kita dengar mereka bersungguh bercakap dengan kita, bila kita tak faham, kita akan tanya balik dengan orang yang rapat dengan kita. Macam tulah situasi abah.

Sekarang ni, macamana kami nak yakinkan abah yang abah tak boleh naik motor.