Wednesday, February 23, 2011

Terima seadanya

Baru pulang dari Jinho, aku tengok abah seronok disana, dengan warga-wagr senior yang lain, sesungguhnya sama seperti keadaan pusat jagaan orang-orang tua, dan mereka gemar dengar lawak-lawak jenaka petugas disitu.

Mahu atau tidak, bila aku tengok wajah abah dalam-dalam..aku sedar aku takkan dapat abah yang dulu, abah yang pendiam, abah yang serius, abah yang dulunya memang digeruni oleh lelaki-lelaki yang cuba-cuba nak berkawan dengan aku (wakaka), mungkin inikah antara doa mereka..biar Pak Jalil hilang taringnya? lol.

Sejak aku dewasa, abah paling rapat dengan aku, kalau pulang cuti, abahlah yang sentias belikan sarapan, hidangkan teh diwaktu petang, air milo diwaktu pagi, untuk aku dan ibu. Mungkin kini giliran aku pula. Ya, luahan semalam, nampak sangat aku pentingkan diri, lebih pentingkan tidur aku dan game sim aku yang buang masa juga kadangkala.

Abah sekarang mudah terharu, mudah menangis, tanpa segan silu, dengar berita tentang pelajar mesir yang selamat pulang, juga abah menitis air mata, dengar radio ceramah dalam kereta ku, juga abah menangis, kalau dulu, lihat abah mengerang sakit kena gigit tebuan pun abah akan halau aku keluar dari bilik.

Abah kini tanpa ego, dan abah benar-benar kelihatan tua. Tempoh dua bulan, stroke merampas semua. Tapi bukankah benar, segalanya pinjaman. Sekurangnya, tuhan beri aku lihat perubahan abah, tuhan tidak mengambil serta merta.

"Abah, rumah acik tu jam semua dah mati, sinki pun bocor sana-sini" kadangkala aku luah juga, walaupun abah akan sekadar mengeluh, kerana abah tidak lagi mampu buat apa-apa.

Teringat dulu, aku selalu mengadu di facebook, bila abah kerap belikan sarapan, menyergah aku diwaktu pagi bila aku dirumah aku, aku rasakan tiada privasi dan aku rasakan abah penyebab berat ku bertambah. Tapi kini aku rindu itu semua..

Tuesday, February 22, 2011

Luahan perasaan

Sejak semalam, kaki abah bengkak..kiri dan kanan. Aku tak faham kenapa. Tukang urut kata sebab jantung. Hmm..abah punya temujanji doktor masih ada sebulan lagi, buat sementara ni tak tahulah apa yang boleh buat. Bila kaki dan sendi abah sakit-sakit, agak payah abah nak berjalan. Jalan keluar rumah akan jadi agak mustahil.

Semalam aku balik rumah aku sekejap.Lepas kerja. Jam 9 malam abah dah telefon suruh aku balik. Dan ibu kata abah tak mahu ambil wudhuk sendiri melainkan aku yang ambilkan. Geram juga aku. Entahlah sebagai orang muida, tipulah kata aku tak memberontak. Anak-anak yang lain boleh gembira dan tenang dengan hidup masing-masing, aku disini sebab bujang, lalu akulah yang perlu korbankan hidup aku. Banyak kali aku cuba minta diri aku bersabar, pujuk diri, ni dah bahagian aku.

 Secara jujurnya, kadangkala ada rasa nak lari, nak tinggalkan semua, dah berapa lama aku tak dapat tidur dengan nyenyak macam masa aku tinggal sendirian, dan berapa lama dah aku tak main game sepuasnya. Di tempat kerja pula, mereka nak bagi aku kerja macam masa aku dulu-dulu juga, buat montaj lah website lah. Kerja-kerja tu..kalau macam dulu, masa aku mengadap PC aku yang power dirumah aku sendiri, lainlah cerita. Ini dengan laptop kecil dirumah ibu, manalah mampu buat kerja-kerja tu. Dahlah aku pula, jenis kalau buat kerja, aku benar-benar perlukan masa sendirian, khusyuk, waktu tu baran aku ditahap maksima, kalau panggil aku masa aku khusyuk mengadap komputer, aku akan rasa nak lempang je orang yang panggil.

Tapi..nak buat macamana...dah takdir aku macamni.

Monday, February 21, 2011




Sekarang ni abah dah mula jalan diluar, dan abah memang selalu teruja kalau nak berjalan diluar, walaupun kadangkala sekejap je, sebab abah mudah letih. Kalau petang, masa aku tak kerja, rasanya boleh bawa abah, ambil ibu tolak kerusi roda dan aku bersiap sedia disebelah abah.

Setiap pagi mulai harini, aku bawa abah ke pusat terapi Jianho, harga mesin terpi tu rm16500, jadi rawatan percuma adalah 30 minit setiap hari bekerja. Buka jam 9 pagi, tapi abah lepas subuh dah suruh aku siap-siapan dia, antaranya sebab masa tulah abah jumpa kawan-kawan baru. Aku bisan juga, sebab aku seorang je remaja,lol. Tapi tak apalah. Aku kalau cukup tidur memang tak ada masalah nak bangun pagi, tapi kalau tak cukup tidur, masyaAllah tuhan je tahu cranky aku.

Aku rasa kalau setiap hari boleh bawa abah jalan diluar walaupun 15 minit dan terapi tu, insyaAllah abah akan cepat sembuh. Jus Monavie tu juga macam serasi dengan abah. Tapi jus herb fadhilat tu, buat abah kerap ke tandas buang air kecil, hampir 15 kali dari jam 12- 6 pagi. Jadi kami henti ambil jus tu. Oh..jus tok guru, lama tak mula balik, bila habis haritu. Tak apalah, mungkin jus monavie ni akan membantu. Ni dah masuk botol kedua. Memang nampak, haritu putus seminggu, abah agak lemah.

Saturday, February 19, 2011

Rasional..dan fikiran

Abah walaupun secara fizikal, banyak perubahan, namun aku perhatikan beberapa minor saraf abah masih lagi ditahap yang lemah. Bahagian kiri abah, terutamanya rongga mulut dan telinga sebenarnya masih belum banyak perubahan. Kalau pagi-pagi aku lihat mata kiri abah tidak begitu terbuka dan nampak lemah, aku akan mula risau, takut dah datang stroke kedua, minta dijauhkan tuhan. Dan bila makan, abah tidak akan sedar ada sisa-sisa makanan di bibir kiri. Pendengaran abah juga lemah.

Rasional abah dah beransur kuat tetapi, masih lemah jika dibandingkan dengan abah masa sihat. Sekarang ni mental abah aku rasa agak sama dengan kanak-kanak yang sedang membesar, jujur tanpa ego. Cuma tidak sabar, seperti kanak-kanak yang nakkan sesuatu, mereka akan nak sangat, tanpa pedulikan masa, situasi ataupun keperluan.

Abah suka kalau dapat keluar rumah sekarang ni. Aku rasa aku bercadang nak bawa abah keluar ke pantai Klebang, tapi, tak tahu aku mampu dan yakin ke tidak, biasanya abah cuma yakin dengan angah atau adik, ya aku faham juga yang aku dan ibu pastilah cepat panik kalau terjadi apa-apa.

Abah..rindu abah yang selalu belikan mee goreng waktu petang..

Tuesday, February 15, 2011

Genap dua bulan



Alhamdulillah, fasa-fasa genting telah kami lalui, dan kami doa sangat abah akan terus sihat dan dilindungi dari segala bencana. Angah bawa abah jalan-jalan hujung minggu yang lepas. Seronok abah.

Friday, February 4, 2011

Sehati bersama


Ibu dan abah, kadangkala bertelingkah, bila abah kadangkala bercakap sesuatu yang tidak rasional, ibu kecil hati bila abah selalu minta anak-anak yang lain pulang menjaga abah, tapi ada sekali abah jawab..

"nak bagi orang sini rehat, biar anak-anak lain pula ganti jaga abah sekejap"

Barulah ibu akan senyum dan reda. Ibu, walau letih pun tetap bangun mengurut dan uruskan abah buang air. Kadang-kadang ibu demam-demam. Bila malam. Tapi bila siang, aku paling suka bila ibu mengurut abah, sambil abah mengaduh kenapa abah masih belum pulih, kenapa abah belum boleh naik motor dan pergi mengeteh, dan kadangkala mereka sama-sama akan menyanyi lagu..

"Beginilah nasib, diriku yang malang, oh tuhan..." berduet.

Tapi kadangkala abah tegur semula, tak boleh nyanyi lagu ni, macam berputus asa, tuhan marah. Kadangkala, abah tanya ibu, samaada ibu ada rasa bosan atau benci jaga abah, jawab ibu, seorang isteri tak pernah rasa macamtu, walau jahat, walau sakit pun suami tu.

Ya, kadangkala melihat ibu dan abah, aku rasa, aku faham, kenapa Nabi suruh umatnya mendirikan rumah tangga.

Sejak akhir-akhir ni, abah selalu cuba menelefon kawan-kawan rapatnya, abah selalu tungu-tunggu panggilan dari orang lain, aku tahu abah dah mula rindu pada dunia luar. Kata abah, abah sakit semua kawan hilang. Jawab aku pada abah, memang keadaan macamni, keluarga yang setia.

Jadi, telefonlah abah selalu, dia rindu dengan hidup dia yang 2 bulan lepas.

Wednesday, February 2, 2011

Gambar 3

Aku rasa ini adalah pose abah yang paling hebat sekali, sebab abah tengah bengang aku asyik ambil gambar abah. Bila abah tengok gambar ni, abah mengeluh yang abah nampak kurus sangat.

Paling best bila nampak abah dah boleh bertatih guna tongat kaki empat ni, tapi tak boleh lama, sebab abah cepat rasa penat, abah kata kaki kiri abah berat sangat.

Ini tandas abah, kalau tandas duduk memang tak selamat, sebab abah belum stabil lagi imbangan dia. Rupa-rupanya pelbagai jenis kerusi roda yang dijual di Farmasi Apex Jalan Bendahara, Melaka. Kami rasa kerusi ni lebih sesuai, dan memang kelihatan solid, harga biasa rm530, tapi along dapat diskaun hampir separuh harga. Kerusi ni akan menjadi turun temurun rasanya, yelah bila sampai masanya, akan ada yang perlu.

Ini adalah semua jus yang abah ambil, sebenarnya tak digalakkan sangat dan kami harus hantaar preskripsi ke farmasi dulu, sebab abah ambil ubat Warfarin, cuma jus Tok Guru saja yang sempat aku ajukan ke doktor, dan telah pun dibenarkan. Yang lain tu kami tawakal saja, lagi pun abah macam dah stabil. Sekarang ni yang memang rutin kami bagi ialah jus Monavie dan jus Tok Guru.