Thursday, November 17, 2011

Senarai ubat abah

1.erythromycin =antibiotic(untuk demam..aku agak je..la)

2.Furosemide (INN) or frusemide (former BAN) is a loop diuretic used in the treatment of congestive heart failure and edema. It is most commonly marketed by Sanofi-Aventis under the brand name Lasix. It has also been used to prevent Thoroughbred and Standardbred race horses from bleeding through the nose during races

3.Ranitidine ( /r?'n?t?di?n/; trade name Zantac) is a histamine H2-receptor antagonist that inhibits stomach acid production. It is commonly used in treatment of peptic ulcer disease (PUD) and gastroesophageal reflux disease (GERD). Ranitidine is also used alongside fexofenadine and other antihistamines for the treatment of skin conditions such as hives. Ranitidine is also known to give false positives for methamphetamine on drug tests.[1]==>Gastric

4.t-gabapentin===>pain relief http://www.drugs.com/ppa/gabapentin.html

5. warfarin

6.Digoxin ==is used to treat congestive heart failure and to slow the heart rate in patients with atrial fibrillation. Includes digoxin side effects, interactions and ...

7.Simvastatin ==(Zocor) belongs to a group of drugs called HMG CoA reductase inhibitors, or "statins." It reduces levels of "bad" cholesterol (low-density lipoprotein, or LDL) and triglycerides in the blood, while increasing levels of "good" cholesterol (high-density lipoprotein, or HDL). Simvastatin is...(cholestrol)

8.aceprin=http://www.mims.com/Malaysia/drug/info/Aceprin/Aceprin%20tab, Prophylaxis of MI, transient ischemic attacks or stroke, thromboembolism & vascular occlusion.

2nd information=http://www.mims.co.id/Malaysia/patientmedicine/info/Aceprin%20tab/Aspirin?tabrecent=1

Aceprin® helps to relieve pain and inflammation. It also helps to bring down a fever.

Aceprin® is also a blood-thinning medicine. It prevents special cells in the blood -- the platelets -- from sticking to each other. This reduces the risk of harmful blood clots forming. Blood clots that form in a blood vessel inside the heart or brain can cause a heart attack or a stroke.

9.tripril=http://www.mims.com/Malaysia/drug/info/Tripril/Tripril%20tab, for blood pressure.

Semalam aku rasa bengang sangat pada doktor yang tak bekalkan ubat demam pada abah, hingga memaksa aku mencari maklumat tentang semua ubat abah, dan berbincang dengan pharmacist tentang preskripsi ubat abah, bila demam abah makin berat dan hati aku makin meruntun melihat abah. Pengajaran bagi aku, semak betul-betul senarai ubat yang doktor nak beri terutama bila masa yang sama nak ambil ubat-ubat stroke abah, dan kemudian sepatutnya minta pharmacist asingkan ubat demam dengan ubat stroke. Kecuaian diklinik kerajaan amat kerap berada diamana-mana.

Akhirnya semalam petang aku dan abah bertatih ke klinik Dr. Abraham. Kata dr Abraham, demam lebih dari 3 hari memang akan jadi teruk disebabkan mula tak selera makan dan sukar tidur. Dan alhamdulillah harini abah dah boleh sarapanm di Sg Putat, walaupun masih lemah lagi, tapi sekurangnya dah boleh bangun sendiri.

Aku jadi amat stress dan emosi kerana lagi dua minggu majlis yang akan menjadi hadiah harijadi ibu akan berlansung.

Tuesday, November 1, 2011

abah dan maybank

Harini jam 11 pagi,abah kata abah nak pergi Ocean naik b as, abah bawa beg sandnag agak besar, abah kata nak pergi Maybank, buka akaun senior citizen. Aku berkeras tak bagi. Kata ku pada abah, nanti aku ada cuti aku bawa abah, abah tetap nak pergi hari tu juga. Aku berdiri dipintu, Ocean adalah kawasan jenayah kedua tertinggi di Melaka.Abah pukul-pukul aku.

Lalu aku kunci pintu dan kata pada abah, aku bawa abah ke Maybank, aku sms boss, beritahu ada masalah sikit dan perlu lewat ke tempat kerja.

Bawa abah ke Maybank. Akaun senior citizen yang nak masuk tu minima rm1000. Abah kata dalam bank ada rm500, ditangan abah ada lagi rm500. Aku isikan borang dan bagi kad pengenalan abah di kaunter.  Kami semak akaun abah, dan aku agak terkejut bila dalam akaun abah cuma ada rm39. Abah kata abah tak pernah keluar duit dari akaun tu. Aku minta petugas tu semak lokasi pengeluaran wang, semuanya di atm yang dirumah kami dan juga melaka sentral, ada 6 kali pengeluaran, bila aku bagi tahu rekod tu, baru abah angguk perlahan yang dia mungkin ada keluarkan tunai, tapi dia tak ingat.

Jadi kami keluarkan semua wang abah di bank lain, untuk lengkapi akaun tu. Sampai di kaunter atas, kira wang, rupanya masih belum cukup rm100, abah salah kira. Aku keluarkan wang aku, masuk ke akaun abah. Segalanya semata-mata nak masukkan akaun ni yang abah tunggu sejak 3 bulan lepas.

Selesai semua, abah minta aku hantar abah ke Melaka sentral, abah kata bulan depan abah nak masuk pelaburan emas pula. Aku letih.

Keluar dari kereta aku, abah tak bagi aku teman dia ke sentral, abah suruh aku balik, abah kata abah banyak hal. Abah kata nanti abah nak ke Ocean ke pejabat pesara nak minta kerja, abah nak jalan di melaka sentral dan ocean.

Rasa sia-sia, dan aku amat lewat ke tempat kerja.

Monday, October 31, 2011

Orang tua ditepi jalan

Abah..abah..abah dah sihat sekarang ni, cuma belum mampu naik motor sebab masih tak boleh seimbangakn badan abah, masih tak boleh memandu kerana kami tak benarkan lagi. Tapi, abah sekarang amat lain, abah sekarang panas baran, abah sekarang cuma ikut hati abah.

Abah sekarang dah tak suka aku atau ibu ikut abah kemana-mana. Haritu pergi melaka sentral, sekelip mata abah hilang dari pandangan aku, resah aku, dua jam mencari yang aku rasa macam 4 jam, akhirnya aku minta pakcik security tolong cari, baru jumpa. Lepas tu abah kata, abah tak suka orang ikut. Dan jawapan abah buat aku geram. Abah tak tahu betapa risaunya kami tentang abah. Abah cuma fikir yang abah nak bebas berjalan. Kerana geramnya aku, aku berkata pada abah, kalau abah hilang lagi, acik lapor polis dan biar polis bawa abah kerumah kebajikan. Sekarang ni bukan sekali abah hilang. Bila aku tiada, ibu yang amat risau, sampai menangis-nangis, aku jadi sedih tengok ibu. Dia seorang isteri, dia layak untuk amat risau dengan orang yang paling dia cintai., Tapi, ibu pun bukannya kuat sangat, ibu nak uruskan majlis aku lagi, nak jaga abah lagi. Aku takut ibu pula jatuh sakit. Ibu pula memang dah makin kurus. Aku tahu selama ni, kami amat risau pasal abah, tanya ibu abah dah makan ubat ke belum, tanya ibu abah macamana...kadangkala kami lupa nak tanya ibu, ibu dah makan ubat ke belum, ibu macamana?

Haritu juga, aku kata pada abah, abah dah sihat sikit, abah pula kena jaga ibu, kalau ibu sakit, kalau ibu pergi...kami tak mampu nak jaga abah macam ibu jaga abah, dan kerana kerja, mungkin kami kena hantar abah kerumah orang tua. Itu kenyataan yang pahit.

Abah pernah merayau naik bas sampai ke Sg Putat, dan akhirnya ibu kena ambil abah malam-malam yang hujan pula tu, ibu tak boleh memandu malam kerana penglihatan ibu makin rosak akibat diabetik. Aku jadi marah pada abah, abah yang tak fikir kami amat risau pada dia, abah yang tak fikir tentang ibu.

Abah selalu kata jangan usik duit abah, nanti kalau abah merempat nak makan apa. Aku jadi marah, ibu tak pernah membiarkan kami tiada makanan, sampai kami ni semua jadi obesiti sebab ibu suka masak, ibu  selalu risau bila kami keluar rumah, dan ibu paling risau tentang abah. bagi aku abah cuma akan berakhir dengan tiada tempat tinggal kalau abah keluar rumah dan tak tahu jalan pulang.

Memang kemungkinan tu ada, sebab abah kadangkala tak angkat telefon bila ibu telefon bertanya abah dimana, dan abah juga masih susah nak guna telefon walaupun dah berkali beli telefon baru dan berkali juga beritahu abah bagaimana nak guna telefon. Telefon ibu dah rosak tidak berganti.

Teringat aku,mendiang  apek cina jiran sebelah rumah ibu dulu, selalu merayau, kami salahkan anaknya yang tidak menjaganya. Aku lihat abah, tak jauh beza dengan apek tu, merayau membawa beg. Bila aku tengok orang tua ditepi-tepi jalan, barulah aku faham dan terfikir, mungkin nasib tu mereka yang pilih.

Satu cara je nak selamatkan abah, kunci pintu tak bagi abah keluar, atau rantai kaki abah..

Tapi dengan cara tu, abah akan hilang kewarasan yang masih berbaki pada abah.

Saturday, October 15, 2011

Abah muda kembali

Sejak akhir-akhir ni, abah berfikiran seperti orang muda. Ada waktu aku suka, melihat abah kembali ketawa. Tapi pada masa yang sama, aku terfikir..sanggupkah kami melayan kerenah abah, seperti abah melayan kerenah kami dulu?

Saturday, September 24, 2011

Kasih abah

Abah kadangkala selalu marah ibu yang agak gemar berleter, entah berapa kali abah kata nak keluar dari rumah tu sebab ibu sellau berleter. Ibu, perempuan, kadangkala letih dan beremosi juga.

Tapi, semalam, ibu periksa mata dihospital kerana kesan dari diabetik, lepas hantar ibu kehospital, aku hantar abah pulang kerumah dulu sebab abah kata abah nak tidur. Pagi tu kami bersarapan di bukit piatu, selera abah sekarang makin bagus.Alhamdulillah.

Lepas hantar abah kerumah, aku pergi hantar dua-dua kereta kami ke carwash, ulang alik. Nasib ada dua kereta je, kalau ada lapan, maunya ulang 8 kali. Masa aku siap kereta yang kedua, abah telefon..

abah: acik, kau kat mana, dah ambil ibu?
aku: belum, ibu belum call
abah: kau pergi tunggu ibu tu, dia tak nampak, mata dia buta tu,pimpin dia baik-baik, tunggu dia
aku: tapi ibu belum call
abah: kau pergi dulu, tunggu je ibu kat situ, pimpin dia..mata dia buta tu, pimpin dia elok-elok.
aku: okay-okay

Jadi aku pun telefon ibu, urusan ibu hampir selesai. Kehospital, aku tengok ibu sedang riang saja berbual ditelefon dan terus masuk dalam kereta aku bila nampak aku sampai. Doktor cuma letak ubat kata ibu.

Friday, September 23, 2011

Nasi lemak 2.0

Dua hari lepas aku menonton filem, ni. Okay apa kaitan filem ni dengan abah. Aku tidak akan menulis tentang aku disini, aku cuma akan menulis apa yang berkaitan dengan abah. Setelah bertahun menulis didalam blog pribadi, ianya menjadi pengajaran bahawa, pena itu benar lebih tajam dari mata pedang.

Disatu babak dimana Namawee diarahkan pergi ke Bentong untuk belajar mengenai rempah, di bentong, dia menemui pengusaha rempah yang tinggal dengan anak perempuannya, yang cantik dan semua orang menggalakkan budak perempuan ni masuk pertandingan ratu cantik Malaysia. Tapi kata budak ni, dirumah inilah cita-cita dia dan kehidupan dia, menjaga ayah dia.

Hati aku tersentuh.

Bukan mudah, terutama nak melepas hidup yang telah dibina, hidup yang dilalui dengan bebas, hidup yang dilalui dengan tangan sendiri, tanpa sesiapa. Itulah hidup aku dulu, aku buat apa yang ikut hati dan kehendak aku, melawat ibu cuma bila dihubungi.

Tapi kini, walaupun aku dah boleh balik rumah 2-3 hari, cuma waktu 2-3 hari itu saja yang kuhabiskan dirumah, selebihnya aku perlu menjaga abah dirumah ibu, tengokkan abah. Bawa abah jalan.

Memang itu yang dituntut dalam kehidupan ni, tetapi ia tidak mudah. Lebih-lebih lagi, aku sedari dulu tidaklah mempunyai hubungan baik atau rapaut dengan kedua ibu bapaku.

Tiada siapa yang kata ia mudah, semudah mata memandang...

Monday, September 19, 2011

Jubah kuning abah syawal ini

Tahun ni abah dapat dua jubah, satu warna kuning,yang putih tu angah beli, yang kuning tu abah beli dengan aku di Tesco Cheng.

Suka tengok abah pakai jubah tu.



Tapi tiada pun gambar dengan aku.



Ni saja gambar raya aku dan abah. Syawal 2011.

Dan..

Syawal 2010. Harap tiada yang terpedaya..abah tak amalkan diet untuk turun 30kg.




Dan..gambar ini akan dirindui...bila abah, abah sekarang tak boleh duduk diantara dua sujud pun. Syawal 2009


ps: abah dah di 'discharge' dari rawatan cara kerja (fisio) dengan alasan tiada progress, abah sedih, kata abah ahli fisio tu tak suka abah, hmm..temujanji dengan doktor yang akan datang aku harap aku bersama abah, supaya aku boleh minta doktor rujuk pada rawatan gim di fisioterapi

Monday, September 12, 2011

Abah suka kenduri kahwin


 

Abah gembira kalau di kenduri kahwin, jumpa saudara-saudara yang sekarang ni dah sukar abah nak jumpa. Sekarang ni aku sedar, hidup abah lebih banyak terpaksa berdiam dirumah. Kadangkala seolah ditinggalkan, sebab abah tak boleh memandu lagi, sekadar harap anak-anak dan isteri untuk kemana-mana.

Bila aku balik rumah dari sekolah, aku tengok abah siap-siap nak solat, lepas tu abah menonton tv, lepas tu abah tidur. Pagi pergi sarapan dengan ibu, balik makan ubat, tidur. Dan aku kesekolah, petang abah mengeteh di kedai mamak, tapi sejak akhir-akhir ni abah dah tak mahu mengeteh di kedai mamak tu, abah syak abah kena batuk-batuk sebab kedai tu kotor, jadi abah ajak ke kedai yang diatas sikit, kalau aku tiada, ibu bawa. Lepas tu tiba lah maghrib,begitulah rutin abah.

Abah sayu lepas anak-anak balik, syawal haritu, abah kata rumah dah sunyi. Dan esoknya, abah mula bertanya aku bila adik dan angah nak balik. Terkelu juga aku, bukan baru semalam rumah ni riuh dengan adik beradik..abah mula mengharap mereka pulang menjenguk abah lagi.

Abah kata dengan aku, abah nak berkebun, nak beli tanah 1 lot, nak bercucuk tanam sikit. Aku senyap je, tak tahu nak cakap apa. Aku tahu, kalau aku pun mesti bosan, tapi kalau aku, letak je komputer kat depan, aku dah tak hirau dunia, tapi abah..memang dari dulu suka berjalan, dan hidup abah sekarang, buat abah banyak sedih dan sayu.

Dan, aku pun sejak abah kena strok, aku rasa..dah tiada apa yang buat aku gembira.

Friday, August 26, 2011

Bila abah demam

Abah demam sehari dua ni, abah lemah betul. Nak ke tandas pun berpapah, pakai baju pun dah lemah sangat. Abah tak dapat puasa. Abah tak selera makan. Abah kata daya abah dah habis. Aku jadi sedih tengok abah. Aku bagi ubat batuk, pun tak reda. Abah jarang demam, seingat aku..memang aku tak pernah ingat abah mengaduh demam didepan aku sepabjang dia sihat dulu.

Aku syak abah kena batuk dan selsema dari aku, aku memang sebulan dua ni batuk setiap hari, sebabnya aku malas makan ubat, lebih-lebih lagi bulan puasa ni.

Semalam bawa abah ke klinik, papah abah keluar kereta, naik tangga sikit kat Klinik Dr Abraham. Sukar bagi abah.

Bila doktor periksa, tekanan darah abah ok, dan jantung pun ok. Alhamdulillah. Memang abah cuma demam biasa. Tapi abah lemah sangat sebab kata doktor abah pesakit stroke dan dah berumur, kata doktor daya  ketahanan badan abah sama macam kanak-kanak, yang menjadi golongan paling mudah bila dijangkiti demam dan juga amat lemah.

Balik tu, aku bagi abah ubat. Ibu dah urus ubat-ubat biasa abah, biarlah aku urus ubat demam ni. Aku jadi waspada pada masa, walhal kalau aku demam jangan haraplah aku nak berdisplin makan ubat.

Dan tadi, jam 1 tengahari, bila abah mula minta makan, aku rasa macam gembira sangat. Tengok abah segar sikit dari demam.

Harap abah mudah sembuh, aku dah pesan angah dan along supaya cari jubah putih yang abah minta, abah nak pakai sembahyang raya. Aku nak abah sihat Syawal ni. Walaupun tak sesihat syawal yang lepas.

Abah tak dapat pergi fisio harini.

Wednesday, August 17, 2011

Dialog dengan abah.

Sekarang ni, tepat jam 8.00 malam lepas berbuka puasa, abah akan ajak aku keluar makan, memang naiklah berat aku, kadang-kadang memang aku tak makan, tapi minum je pun dah buat aku kembung.  Tapi tak apalah, aku akan terus berpuasa lepas ramadhan nanti sehingga satu tarikh yang ditentukan.lol.

Kadang-kadang aku suka berbual dengan abah, tanya soalan yang kadangkala kelakar, dan repond abah pun kelakar juga.

Kadangkala lepas bawa abah sarapan, masa sebelum bulan puasa tu, aku berbasikal ditaman perumahan kami, sebab aku tak boleh jogging setelah didiagnos yang aku adalah masalah "heel spur", jadi aku berbasikal. Masalahnya bila berbasikal, ada lah mata memandang, yelah, tengok aku yang terlebih berat ni pulun mengayuh basikal. Jadi aku pun mengadulah dengan abah..

aku: apalah, acik naik basikal pun orang asyik pandang, tengok pakcik-pakcik tu jogging ada yang tak pakai baju pun, orang tak kisah.

abah: kau memanglah orang pandang.
aku: kenapa?
abah: sebab kau perempuan.
aku: kenapa pulak?
abah: saja je orang lelaki nak pandang.
aku: hah?

dan disatu ketika di pasaraya mydin, sedang kami melintas tempat pakaian, aku sibuk memegang skirt pendek jeans.

aku: abah, acik pakai ni boleh?
abah: tak boleh
aku: kenapa?
abah: kecik, tak boleh
aku: hah..ni ada yang besar sikit
abah: besar pun tak boleh.

suatu ketika, aku tak puasa, atas sebab yang wajib.

abah: acik, kau tengah buat apa?
aku: makan bah.
abah: kau tak puasa?
aku: tak boleh bah.
abah: abah pun rasa abah tak larat nak puasa.
aku: eh bah, dah banyak hari abah puasa, naper harini tak boleh?
abah: abah penatlah.
aku: err..abah..abah kan baru bangun tidur?
abah: tak pelah, abah tidur lagi.
aku: okey bah, tidur tau.(gabra juga aku, sebab abah tak pernah tak puasa, tiba-tiba nak berbuka disiang hari)

Dan kadang-kadang..pagi sebelum aku ke sekolah..

abah: acik, kau tak sekolah harini?
aku: sekolah bah, nak pergi ni.
abah: kau minta cuti tak boleh ke? bawa abah pergi Melaka Sentral.
aku: ayya..takleh-takleh bah...(cepat-cepat aku bersiap pergi sekolah)

Friday, August 5, 2011

Bawa abah pergi Mydin!

Okay, abah tak gemar pergi pusat membeli belah, abah dulu malah masa sihat pun tak pernah pergi Jusco ataupun Tesco, dan Mydin juga. Abah tak suka sebab kata abah, barang-barang tu boleh dapat dikedai-kedai biasa, malah lebih murah dan malah boleh dirunding harganya. Abah antara lelaki yang memang suka tawar menawar, sampai apek kedai tu terdiam, hahaha..

Harini lepas bawa abah pergi fisio dan ibu pergi klinik kesihatan, kami ke mydin, selalunya kami sekadar tunggu ibu dikereta, tetapi ibu minta aku juga mencari beberapa barang keperluan, ibu sehari lepas dirawat akibat kesan diabetik..ibu dah cergas macam biasa, walhal aku tahu ibu masih sakit. Masuk sahaja Mydin, ibu pergi ke pasaraya, dan abah matanya bersinar bila nampak jualan pakaian, abah nak beli seluar track..lagi. Dan kemudian abah membelek-belek dikedai buku.


Aku kemudian dudukkan abah di ruang Food Court, aku beli barang keperluan secepat mungkin. Keluar, dan kemudian menyertai abah menunggu ibu. Abah agak teruja apabila aku beritahu abah diatas ada jual pakaian, abah nak!

Tapi kami ketandas dulu,sekarang tak susah sangat, tandas OKU sentiasa ada, tandas OKU selalunya bersih kerana tiada pengguna, dan aku boleh temankan abah, kalau abah perlukan. Yela, aku selalu risau kalau lepaskan abah ke tandas lelaki, sukar abah nak panggil aku kalau apa-apa, dan aku pula takkanlah sesuka hati nak masuk!


Naik atas, abah takut-takut dengan eskalator, aku pegang belakang abah, dan tiba diatas, abah pun dengan gembiranya beli kasut..lagi, dan seluar track.


Kali ni, ibu pula menunggu abah! Hahah. Bukan mudah nak jumpa situasi sisteri menunggu suami shopping.

Dalam perjalanan pulang kerumah, dalam kereta, kata abah..Mydin ni bagus juga, barang pun banyak harga pun ok, dan ibu mula mempromosi tentang Mydin..parkir banyak..barang harga borong..kedai makanan ada...

Dan aku rasa mungkin abah akan melupakan Melaka Sentral buat seketika.

Saturday, July 30, 2011

Fisioterapi

Dihospital ada dua unit, fisioterapi dan unit cara kerja. Abah dirawat diunit cara kerja, aku pun musykil kenapa. Sekarang ni..yang paling sukar adalah jari-jari sebelah kiri abah.

Tapi, kaki kiri abah juga sebenarnya masih sukar nak bengkok, abah tak boleh bersila lagi, belum lagi. Pernah sekali, aku cakap pada abah, abah patut rasa gembira sebab abah sekarang dah boleh jalan kaki agak laju juga berbanding dulu. Tapi abah kata..

"Lama abah tak sujud pada tuhan, kat sejadah, sebab tu abah masih lambat baik..doa abah belum diterima, sebab abah belum boleh sujud"

ya, sujud..adalah satu anugerah yang terhebat..


Wednesday, July 27, 2011

Abah suka jalan-jalan

Aku rasa tajuk aku makin lama makin macam budak-budak dah. Haha.sabar ajalah. Abah sekarang suka jalan-jalan, jalan kaki atau naik kereta dengan aku. Setiap hari mesti buat. Rutin aku sekarang ni, pagi kalau aku tak sarapan dengan abah dan ibu, aku tidur dulu, lepas tu jam 9pagi aku akan bawa abah ke melaka sentral, jalan-jalan sajalah, tengok barang, abah dah tak asyik beli beg lagi, tapi abah dah suka beli seluar pendek dan seluar panjang, sekali beli 5 helai. Aku cakap dengan adik jurujual tu, minggu depan, habislah semua seluar yang dia jual, abah sapu.

Dan abah kalau pergi atau suka satu kedai, abah akan pergi satu keadi tu je. Kat melaka sentral abah wajib pergi Restoran sup utara, kecuali ibu dah marah-marah berleter sebab dah masak di rumah, tapi kadangkala senyap-senyap abah ajak aku juga, aku layan jelah.

Tak pun, abah akan jalan sendiri pagi tu, tu kalau aku sibuk buat kerja sekolah, macam pagi ni. Aku kemas rumah yang dah macam tonkang kena taufan, kemas ruang tamu dan bilik2 je, dapur...ibu punya hal. Abah jalan kaki seorang, aku tak risau sangat sebab aku dah tahu port-port abah, tapi yang aku agak horror pagi ni, bila abah keluar jam 9.45..sampailah aku dah kemas rumah..jam 10.30, abah tak balik2 lagi, dan telefon abah pula tertinggal ditempat charger, aku pun segeralah start kereta dan cari abah...pusing taman permainan dulu, tak nampak..jadi terus ke kedai makan maimun, kusss semangat, ada dekat situ, abah komplen2 kata telefon hilang, berpeluh abah aku tengok.

Aku pesan abah, kalau jadi lagi macamni, singgah kat kedai telefon hotlink, tempat abah selalu beli topup tu, amoi kat kedai tu aku dah tinggalkan number fon aku, number fin dia pun aku dah ambil, dia kenal benar dengan aku dan abah, aku pun dah janji kalau aku kawin aku jemput dia datang makan nasi minyak, kalaula..



Wednesday, July 6, 2011

Abah nak..


Abah nak naik moptor, sebab abah nak jalan-jalan macam biasa, abah bosan duduk rumah saja dan tengok tv saja, ataupun tidur saja. Malam semalam, abah ajak aku pergi makan tomyam dan sambil tu abah kata nak beli motor auto. Puas juga aku memujuk abah, terang pada abah yang kaki kiri abah tak kuat, bagaimana nak memandu motor, nanti kalau adik balik bolehlah ajar abah bawa kereta. Abah merungut-rungut, dia nak praktis naik motor.

Dalam pada tu aku juga perasaan, abah mula jadi halimunan, sebabnya bila abah keluar dan buat pesanan di restauran, orang akan tanya balik pada aku atau ibu, sebab kata-kata abah tak begitu jelas. Terutama kalau orang muda, seboleh mengelak nak berkomunikasi dengan abah, kalau pakcik-pakcik mereka akan sabar dan cuba dengar betul-betul apa yang abah cakap. Wajah abah agak kecewa bila melihat orang yang ambil pesan tu tak tanya abah, tapi sebaliknya tanya aku atau ibu.

Bila aku fikir balik, memang situasi abah berubah jadi kanak-kanak, yang tutur kata mereka belum lagi kita fahami, bila kita dengar mereka bersungguh bercakap dengan kita, bila kita tak faham, kita akan tanya balik dengan orang yang rapat dengan kita. Macam tulah situasi abah.

Sekarang ni, macamana kami nak yakinkan abah yang abah tak boleh naik motor.

Sunday, June 26, 2011

Kata abah

Kata abah bila dia sakit dia hilang semuanya, harta..itu kata abah. Tapi bagi aku, bila abah sakit, kami adik beradik mula letak melawat abah dalam agenda, kami mula belajar tanggungjawab. Abah sakit waktu kami semua dalam pertengahan umur. Along dan angah nak dekat 40an dan aku pula dah melangkah 30an, adik pula walau masih 25an, tapi adik sejak dulu sentiasa dipaksa untuk menjadi matang. Sampai sekarang gambar kahwin adik masih tiada di dinding ruang tamu rumah, kerana banyak keperluan lain selain dari nak menghantar gambar kahwin adik.

Urusan tanah abah dikampung hampir selesai, benarlah kerana tanah putus saudara, kerana lukanya hati abah, kini segala memori di kampung Parit Othman, Batu Pahat tinggal kenangan. Kami dah tiada kampung. Tempat kebahagiaan abah telah tiada. Dan aku tahu sedih kami tidaklah setanding dengan sedih abah yang telah berbelas tahun mengusahakan tanah kampung itu. Disitulah kami adik beradik sedikit sebanyak tahu yang kami ini berasal dari orang jawa. Disitulah adik belajar berenang, hingga boleh menyelamatkan orang yang hampir lemas, disitulah angah belajar petik kelapa sawit, disitulah aku belajar tanam nenas dan ubi kayu, disitulah along boleh berbangga jadi pekebun walau sekadar bergambar dengan kereta sorong untuk punggah kelapa.

Dulu, sewaktu tinggal dengan abah, sewaktu umurku 12tahun, kampung Parit Othman adalah 1/4 dari hidup kami, belajar goreng ikan dan merasa masakan abah. Kami juga belajar pakai but getah, dan hingga kini aku bangga kerana aku kenal jenit tanah gambut, setiap kali dikelas geografi disekolah dulu, kawan-kawan aku dibandar manalah kenal apatah lagi bermain dan tertanam hampir seluruh kaki ditanah gambut itu.

Tanah kampung itu kini telah dijual dan rumah abah akan dirobohkan kerana abah tidak mampu lagi bersama memori-memori abah dirumah itu.

Gambar raya 2008, kali terakhir kami beraya di Parit Othman, abah dan Najla berlatarbelakangkan suasana didepan rumah abah
Benarlah kata orang, harta dunia tidak akan kekal...dan benarlah kata orang, anak-anak dan keluarga adalah harta yang tak ternilai.

Raya dirumah abah..dari blog along

Tuesday, June 21, 2011

Usaha lagi dan telefon

Abah sekarang ada ikut berurut di Bukit Katil, rm50 untuk dua jam. Tuan Haji Rustam, Taman Saujana Seksyen 3. Abah suka tukang urut ni sebab dia berbual dengan abah banyak perkara. Lebih-lebih lagi sebab dia ni adalah pesara komando, jadi banyaklah cerita yang dia bualkan dengan abah.

Nasib aku bertugas sekolah petang, jadi sempat juga aku memecut bawa bah kemana-mana.

Harini aku bawa abah pergi Melaka Sentral. Abah nak beli telefon bimbit yang baru yang boleh ambil gambar. Kata abah telefon abah yang lama tak boleh telefon dan sms, aku rasa telefon lama tu boleh telefon, malah aku belikan abah dua bulan lepas abah kena stroke haritu, tapi abah sukar nak guna fungsi telefon tu.

Aku tak tahulah abah beli telefon baru ni boleh guna ke tak.

Saturday, June 18, 2011

Selamat Hari Bapa dan percutian kami


Cuti sekolah yang lepas, kami semua ke Pulau Kapas bersama abah.







Abah selalu ajak kami bercuti, abah kata..nanti nak ajak kami ke Pulau Besar...hmmm..tak tahulah akan tercapai ke tak hajat abah tu.

Thursday, June 2, 2011

Dah hampir setengah tahun

Dua bulan lepas
 
Minggu lepas
Abah makin kurus, tak tahu kenapa, selera makan abah agak kurang, abah kerap makan tapi sikit-sikit sahaja. Abah dah beransur boleh menguruskan diri sendiri, nak buat semua sendiri, adakalanya. Tidak mahu lagi dimandikan atau dipimpin. Namkun mental abah semakin lemah, abah cepat marah, cepat sedih dan amat pelupa.

Aku juga dah boleh balik kerumah aku, dan cuma pulang kerumah ibu sekali-sekala, kiranya aku ni "daughter on call" haha, kadang-kadang sedang aku buat kerja dirumah Bertam, abah akan telefon dan suruh aku bawa dia makan malam.

Tapi sekurang-kurangnya, abah dah jarang mengeluh, tidak lagi sejuk-sejuk yang amat..dan gangguan halus pun dah hampir tiada. Cuma abah rajin bertanya, sebab pendengaran abah dah makin lemah, jadai kadangkala apa saja pergerakan akan meransang sikap ingin tahu abah.

Dan aku sedar, aku takkan dapat abah aku yang dulu, yang rajin belikan kami sarapan, yang boleh buang sampah didepan atau juga yang boleh betulkan paip yang rosak dirumah. Abah sekarang sukar walau untuk menyarungkan baju kebadan.

Lantas, aku menjadi terfikir juga kadangkala, berapa lama lagi masa yang aku ada bersama abah. Abah amat gembira bila anak cucu memenuhi rumah, dan abah paling suram bila dengar anak-anaknya tidak dapat pulang pada hari minggu.

Tuesday, March 29, 2011

Disatu detik ini

Abah nampak makin tua. Kadang-kadang aku lihat wajah abah, dah mula kecewa dengan aku yang selalu mula menghilang, dua hari tak balik jenguk abah.

Dunia kadangkala sukar untuk aku fahami, dan masa yang sama melawan kehendak diri, dan lebih perih lagi bila mengetahui apa yang dikejar sekadar khayalan.

"Tuhan, leraikanlah dunia, yang mendiam didalam hatiku, kerana disitu tidak ku mampu menanggung dua cinta.."

Abah, moga abah tak melihat penghujung hidup aku yang semakin kosong.

Wednesday, February 23, 2011

Terima seadanya

Baru pulang dari Jinho, aku tengok abah seronok disana, dengan warga-wagr senior yang lain, sesungguhnya sama seperti keadaan pusat jagaan orang-orang tua, dan mereka gemar dengar lawak-lawak jenaka petugas disitu.

Mahu atau tidak, bila aku tengok wajah abah dalam-dalam..aku sedar aku takkan dapat abah yang dulu, abah yang pendiam, abah yang serius, abah yang dulunya memang digeruni oleh lelaki-lelaki yang cuba-cuba nak berkawan dengan aku (wakaka), mungkin inikah antara doa mereka..biar Pak Jalil hilang taringnya? lol.

Sejak aku dewasa, abah paling rapat dengan aku, kalau pulang cuti, abahlah yang sentias belikan sarapan, hidangkan teh diwaktu petang, air milo diwaktu pagi, untuk aku dan ibu. Mungkin kini giliran aku pula. Ya, luahan semalam, nampak sangat aku pentingkan diri, lebih pentingkan tidur aku dan game sim aku yang buang masa juga kadangkala.

Abah sekarang mudah terharu, mudah menangis, tanpa segan silu, dengar berita tentang pelajar mesir yang selamat pulang, juga abah menitis air mata, dengar radio ceramah dalam kereta ku, juga abah menangis, kalau dulu, lihat abah mengerang sakit kena gigit tebuan pun abah akan halau aku keluar dari bilik.

Abah kini tanpa ego, dan abah benar-benar kelihatan tua. Tempoh dua bulan, stroke merampas semua. Tapi bukankah benar, segalanya pinjaman. Sekurangnya, tuhan beri aku lihat perubahan abah, tuhan tidak mengambil serta merta.

"Abah, rumah acik tu jam semua dah mati, sinki pun bocor sana-sini" kadangkala aku luah juga, walaupun abah akan sekadar mengeluh, kerana abah tidak lagi mampu buat apa-apa.

Teringat dulu, aku selalu mengadu di facebook, bila abah kerap belikan sarapan, menyergah aku diwaktu pagi bila aku dirumah aku, aku rasakan tiada privasi dan aku rasakan abah penyebab berat ku bertambah. Tapi kini aku rindu itu semua..

Tuesday, February 22, 2011

Luahan perasaan

Sejak semalam, kaki abah bengkak..kiri dan kanan. Aku tak faham kenapa. Tukang urut kata sebab jantung. Hmm..abah punya temujanji doktor masih ada sebulan lagi, buat sementara ni tak tahulah apa yang boleh buat. Bila kaki dan sendi abah sakit-sakit, agak payah abah nak berjalan. Jalan keluar rumah akan jadi agak mustahil.

Semalam aku balik rumah aku sekejap.Lepas kerja. Jam 9 malam abah dah telefon suruh aku balik. Dan ibu kata abah tak mahu ambil wudhuk sendiri melainkan aku yang ambilkan. Geram juga aku. Entahlah sebagai orang muida, tipulah kata aku tak memberontak. Anak-anak yang lain boleh gembira dan tenang dengan hidup masing-masing, aku disini sebab bujang, lalu akulah yang perlu korbankan hidup aku. Banyak kali aku cuba minta diri aku bersabar, pujuk diri, ni dah bahagian aku.

 Secara jujurnya, kadangkala ada rasa nak lari, nak tinggalkan semua, dah berapa lama aku tak dapat tidur dengan nyenyak macam masa aku tinggal sendirian, dan berapa lama dah aku tak main game sepuasnya. Di tempat kerja pula, mereka nak bagi aku kerja macam masa aku dulu-dulu juga, buat montaj lah website lah. Kerja-kerja tu..kalau macam dulu, masa aku mengadap PC aku yang power dirumah aku sendiri, lainlah cerita. Ini dengan laptop kecil dirumah ibu, manalah mampu buat kerja-kerja tu. Dahlah aku pula, jenis kalau buat kerja, aku benar-benar perlukan masa sendirian, khusyuk, waktu tu baran aku ditahap maksima, kalau panggil aku masa aku khusyuk mengadap komputer, aku akan rasa nak lempang je orang yang panggil.

Tapi..nak buat macamana...dah takdir aku macamni.

Monday, February 21, 2011




Sekarang ni abah dah mula jalan diluar, dan abah memang selalu teruja kalau nak berjalan diluar, walaupun kadangkala sekejap je, sebab abah mudah letih. Kalau petang, masa aku tak kerja, rasanya boleh bawa abah, ambil ibu tolak kerusi roda dan aku bersiap sedia disebelah abah.

Setiap pagi mulai harini, aku bawa abah ke pusat terapi Jianho, harga mesin terpi tu rm16500, jadi rawatan percuma adalah 30 minit setiap hari bekerja. Buka jam 9 pagi, tapi abah lepas subuh dah suruh aku siap-siapan dia, antaranya sebab masa tulah abah jumpa kawan-kawan baru. Aku bisan juga, sebab aku seorang je remaja,lol. Tapi tak apalah. Aku kalau cukup tidur memang tak ada masalah nak bangun pagi, tapi kalau tak cukup tidur, masyaAllah tuhan je tahu cranky aku.

Aku rasa kalau setiap hari boleh bawa abah jalan diluar walaupun 15 minit dan terapi tu, insyaAllah abah akan cepat sembuh. Jus Monavie tu juga macam serasi dengan abah. Tapi jus herb fadhilat tu, buat abah kerap ke tandas buang air kecil, hampir 15 kali dari jam 12- 6 pagi. Jadi kami henti ambil jus tu. Oh..jus tok guru, lama tak mula balik, bila habis haritu. Tak apalah, mungkin jus monavie ni akan membantu. Ni dah masuk botol kedua. Memang nampak, haritu putus seminggu, abah agak lemah.

Saturday, February 19, 2011

Rasional..dan fikiran

Abah walaupun secara fizikal, banyak perubahan, namun aku perhatikan beberapa minor saraf abah masih lagi ditahap yang lemah. Bahagian kiri abah, terutamanya rongga mulut dan telinga sebenarnya masih belum banyak perubahan. Kalau pagi-pagi aku lihat mata kiri abah tidak begitu terbuka dan nampak lemah, aku akan mula risau, takut dah datang stroke kedua, minta dijauhkan tuhan. Dan bila makan, abah tidak akan sedar ada sisa-sisa makanan di bibir kiri. Pendengaran abah juga lemah.

Rasional abah dah beransur kuat tetapi, masih lemah jika dibandingkan dengan abah masa sihat. Sekarang ni mental abah aku rasa agak sama dengan kanak-kanak yang sedang membesar, jujur tanpa ego. Cuma tidak sabar, seperti kanak-kanak yang nakkan sesuatu, mereka akan nak sangat, tanpa pedulikan masa, situasi ataupun keperluan.

Abah suka kalau dapat keluar rumah sekarang ni. Aku rasa aku bercadang nak bawa abah keluar ke pantai Klebang, tapi, tak tahu aku mampu dan yakin ke tidak, biasanya abah cuma yakin dengan angah atau adik, ya aku faham juga yang aku dan ibu pastilah cepat panik kalau terjadi apa-apa.

Abah..rindu abah yang selalu belikan mee goreng waktu petang..

Tuesday, February 15, 2011

Genap dua bulan



Alhamdulillah, fasa-fasa genting telah kami lalui, dan kami doa sangat abah akan terus sihat dan dilindungi dari segala bencana. Angah bawa abah jalan-jalan hujung minggu yang lepas. Seronok abah.

Friday, February 4, 2011

Sehati bersama


Ibu dan abah, kadangkala bertelingkah, bila abah kadangkala bercakap sesuatu yang tidak rasional, ibu kecil hati bila abah selalu minta anak-anak yang lain pulang menjaga abah, tapi ada sekali abah jawab..

"nak bagi orang sini rehat, biar anak-anak lain pula ganti jaga abah sekejap"

Barulah ibu akan senyum dan reda. Ibu, walau letih pun tetap bangun mengurut dan uruskan abah buang air. Kadang-kadang ibu demam-demam. Bila malam. Tapi bila siang, aku paling suka bila ibu mengurut abah, sambil abah mengaduh kenapa abah masih belum pulih, kenapa abah belum boleh naik motor dan pergi mengeteh, dan kadangkala mereka sama-sama akan menyanyi lagu..

"Beginilah nasib, diriku yang malang, oh tuhan..." berduet.

Tapi kadangkala abah tegur semula, tak boleh nyanyi lagu ni, macam berputus asa, tuhan marah. Kadangkala, abah tanya ibu, samaada ibu ada rasa bosan atau benci jaga abah, jawab ibu, seorang isteri tak pernah rasa macamtu, walau jahat, walau sakit pun suami tu.

Ya, kadangkala melihat ibu dan abah, aku rasa, aku faham, kenapa Nabi suruh umatnya mendirikan rumah tangga.

Sejak akhir-akhir ni, abah selalu cuba menelefon kawan-kawan rapatnya, abah selalu tungu-tunggu panggilan dari orang lain, aku tahu abah dah mula rindu pada dunia luar. Kata abah, abah sakit semua kawan hilang. Jawab aku pada abah, memang keadaan macamni, keluarga yang setia.

Jadi, telefonlah abah selalu, dia rindu dengan hidup dia yang 2 bulan lepas.

Wednesday, February 2, 2011

Gambar 3

Aku rasa ini adalah pose abah yang paling hebat sekali, sebab abah tengah bengang aku asyik ambil gambar abah. Bila abah tengok gambar ni, abah mengeluh yang abah nampak kurus sangat.

Paling best bila nampak abah dah boleh bertatih guna tongat kaki empat ni, tapi tak boleh lama, sebab abah cepat rasa penat, abah kata kaki kiri abah berat sangat.

Ini tandas abah, kalau tandas duduk memang tak selamat, sebab abah belum stabil lagi imbangan dia. Rupa-rupanya pelbagai jenis kerusi roda yang dijual di Farmasi Apex Jalan Bendahara, Melaka. Kami rasa kerusi ni lebih sesuai, dan memang kelihatan solid, harga biasa rm530, tapi along dapat diskaun hampir separuh harga. Kerusi ni akan menjadi turun temurun rasanya, yelah bila sampai masanya, akan ada yang perlu.

Ini adalah semua jus yang abah ambil, sebenarnya tak digalakkan sangat dan kami harus hantaar preskripsi ke farmasi dulu, sebab abah ambil ubat Warfarin, cuma jus Tok Guru saja yang sempat aku ajukan ke doktor, dan telah pun dibenarkan. Yang lain tu kami tawakal saja, lagi pun abah macam dah stabil. Sekarang ni yang memang rutin kami bagi ialah jus Monavie dan jus Tok Guru.

Monday, January 31, 2011

Abah dan hujan

Abah memang amat peka dengan dunia luar, abah baca suratkhabar dan juga dengar berita, abah tunggu berita siapa yang menang di DUN Tenang. Sebab tu bila di hospital abah tak dapat dengar berita, abah gelisah benar.

Dah berapa hari hujan. Abah juga ikut dari berita, tapi cuma kadang-kadang ingatan abah agak keliru.

abah: ish teruk banjir sampai tenggelam jalan, parit sulong macamana lah
aku:apsal ramai mat salleh kat tempat tu.
abah: entah
aku: bah, tu kat australia la.

lepas tu abah suruh aku ambil telefon, telefon ketua kampung parit othman, tanya samada rumah abah banjir ke, rumah siapa yang banjir. Tak puas hati juga, bila tok ketua tu kata sebuah je rumah yang banjir, abah pun suruh aku cari nama Kee Tau, peraih kelapa sawit kampung parit othman, Kee Tau pun melapor kan cuma rumah pak imam saja banjir, rumah abah terselamat, Kee Tau juga tanya bila abah nak balik, abah kata jalan pun belum boleh lagi, lepas tu Kee Tau kata dia kutip ambil sawit lepas raya cina la (masa ni aku nak juga dengar Kee Tau ucap Gong Xi Fa Chai dekat abah, tapi nampaknya Kee Tau malu-malu). Lepas tu abah suruh aku cari nombor telefon Balai Polis Parit sulong dalam telefon abah, hah, aku terkejut juga, tapi abah sekarang kalau dah minta kena turut kalau tak abah takkan berhenti memberi arahan, oh..aku dan ibu panggil abah Boss sekarang.

Ye, abah telefon Balai Polis Parit Sulong bertanyakan keadaan banjir di Parit Sulong, pegawai polis perempuan tu jawab baik je, yang mereka belum terima laporan lagi, pekan pun clear, cuma mereka sedang berjaga-jaga.

Pergh Abah..aku kalau sakit macam abah..aku minta main game The Sim je kot..

Sunday, January 30, 2011

Hari ahad yang indah


Dah dua hari hujan tak berhenti, rasa indah sangat. Ya, bila hari kerja amat tertekan, sebab malam agak sukar nak tidur sebab malam abah pun susah nak tidur...setiap sejam, abah akan minta bangunkan, atau minta tatithkan dia ke bilik ibu atau bilik tidur. Payah juga la, ibu kadangkala sampai nangis-nangis sebab letih, aku pula selalunya kesan waktu kat sekolah lah esoknya.

Abah, cepat jalan tau.

Monday, January 24, 2011

Rambut baru


Disebabkan tak tahan melihat rambut abah yang semakin menjadi afro, jadi aku pun gunting sendiri rambut abah. Hehe...okaylah juga walaupun mula-mula tengok amat berbeza, ya, sebab rasanya macam dah biasa sangat tengok rambut afro abah.huhu.

Leher abah masih sukar nak tegak-tegak.tapi abah dah mudah bangun untuk duduk cuma perlukan bantuan sikit sahaja.

Eh, abah macam senyum kan dalam gambar ni..:)

Friday, January 21, 2011

Gambar-gambar 2





Aku lebih tenang jaga abah dirumah, rasanya di hospital agak payah..dan lebih letih, juga lebih tertekan. Alhamdulillah..alhamdulillah..moga akan lebih dipermudahkan.

Ditempat kerja, banyak urusan ku dipermudahkan, aku pun tak tahu kiranya ada rakan sepejabat atau pentadbir yang bac blog ni, apa-pun..alhamdulillah. Hanya tuhan yang mampu membalas.

Wednesday, January 19, 2011

Kami semua..

Oleh kerana blog ni hasil tulisan aku sahaja, memang amat bias sebab ianya hanya berkisar tentang aku menjaga abah. Walhal adik beradik ku kerap juga balik menjenguk dan menjaga abah.

Angah balik hujung minggu lepas, dengan susah payahnya, angah balik dan menajaga abah dihujung minggu tu. Angah lebih lembut dan menurut apa saja kemahuan abah, sedangkan aku ada waktunya aku buat tak tahu juga. Adik dan angah juga akan balik pada cuti Thaipusam ni, dan waktu tu aku dah rancang dah nak balik dan tidur di rumah aku. Buat kerja apa yang patut. Aku ni ada masalah fokus, kalau bekerja kena fokus, kertas exam diagnostic aku dok bawa balik pulang rumah je, tapi tak menanda.

Adik, baru kahwin, dan aku tahu dia banyak tertekan dengan dilema nak melunaskan tanggungjawab dia sebagai anak dan juga sebagai suami sekarang. Dan kadangkala dia juga jadi punching bag aku bila aku tertekan bila menjaga abah. Ada je aku sms mengarut-ngarut, marah-marah. Nasiblah dia tak mengamuk balik kat aku, haha.

Along, hampir setiap hari telefon bertanyakan keadaan dirumah, dan along banyak berkongsi kerisauan dengan aku tentang abah, tentang kewangan yang dah semakin surut dan juga resahnya menguruskan abah dengan tenaga yang terhad, dan juga kekangan kerja aku.

Ibu, saat ni, buat pertama kali dalam hidup aku, jika aku seorang lelaki, aku nak wanita seperti ibu. Ibu walau mengeluh letih tetap bangun waktu malam menguruskan abah buang air. Aku serius, kadang kala terus tertuli dan tidur. Ibu demam malam tadi, letih mengemas rumah juga selepas orang tukang habis kerja. Ibu juga tak pernah abaikan permintaan abah, mengurut abah dari masa kesemasa, makan abah, apa saja yang abah minta ibu akan tunaikan. Walau kadngkala ibu letih, walau kadangkala ibu juga lenguh-lenguh badan. Ibu juga sejak abah discharge tidur hampir dengan abah beralaskan tilam nipis yang mudah dilipat. Setiap malam abah akan minta buang air sebanyak dua kali, jam 12 dan 3 pagi, lebih kurang macam tu. Dan seawal jam 5 atau 6 pagi ibu dah bangun, dan abah akan minta berkumur. Biasanya pagi tu barulah aku bangun, ambilkan abah wuduk, dan aku solat juga, lepas tu aku tidur. Ibu pula jam 7 akan kepasar, dan aku lepas ibu ke pasar barulah pindah abah ke kerusi roda, selia abah buat senaman, tengok abah bersarapan yang disuap oleh ibu kadangkala, dan kemudiannya mandikan abah.

Cuma harini abah sejuk, taknak mandi awal, dan sekarang kami sedang menunggu tukang pasang heater dibilik air, yang sedang bekerja tu. Kalau sempat dapatlah abah mandi sebelum aku kesekolah jam 11.45 pagi ni, jika tidak..harapnya lepas sekolah jam 7 nanti aku masih ada tenaga nak pindahkan abah ke kerusi roda dan mandi.

Malam ni adik dan angah balik, kami menanti, abah dari semalam lagi dah tanya...adik mana..angah mana...

Tuesday, January 18, 2011

Cara betul membaca ayat qursi

Kenapa tajuk aku harini lari? Okay blog ini adalah catatan aku menjaga abah, kan. Jadi apa saja yang melibatkan abah sewaktu saat begini aku akan tulis.

Dua malam lepas, abah kena gangguan. Bila aku tanya apa yang mengganggu abah, kata abah ada orang datang, macam cerita hantu. Okay, aku pun cerita pada seorang senior aku di UUM dulu, aku beritahu dia, ibu dan abah puas baca ayat kursi namun gangguan tu tetap tak pergi, hingga azan subuh. Mulanya aku masih cuba percaya yang abah mungki sekadar berhalusinasi. Kawan aku ni, bagi aku link ke satu klip Ustaz Ismail Kamus. Katanya bacaan ayat qursi ada caranya.

Dan aku juga temui gambar ni dalam satu laman web tentang membaca ayat kursi yang betul.


Bila aku dengar klip ustaz ni, baru aku rasa benar, kemungkinan besar gangguan itu benar. Kerana gangguan itu datang berwaktu, sama dengan ketika dihospital, waktunya tetap.

Jadi malam semalam aku dan ibu baca yasin dan malam tu aku baca kursi berulang-ulang, sebelum tidur. Alhamdulillah tiada gangguan dan abah tidur lena. Malam ni pula ibu amat letih, jadi aku saja yang baca yassin, segalanya aku serah pada tuhan. Mungkin siapalah aku untuk melindungi ayah aku, hanya tuhan yang berkuasa, aku sekadar berusaha demi untuk seorang lelaki yang mendidik aku mengenal alif ba ta, hinggalah aku khatam quran. Dia juga yang mengajar aku bersolat. Kuserah pada mu saja tuhan, kaulah yang mengizinkan segala.

Takut? aku yang memang amat tak suka menonton filem seram, memang penakut. Tapi demi abah, perkara macam ni aku serah pada tuhan. Apa saja yang aku boleh buat, aku buat. Makhluk tu juga makhluk Allah.

Malam ni ibu dan abah dah pun tidur setelah aku urut. Aku dan ibu urut abah lepas solat maghrib, dan lepas tu aku pula urut ibu. hai...rasany dapat gaji minggu depan, aku pula yang pergi berurut nih, tapi masalahnya, aku tak gemar kena urut. Hmm..tapi macam kena juga, sebab memang kadang-kadang terasa juga lenguh-lenguh dan sakit pinggang lepas uruskan abah. Aku kena sihat untuk mereka dua orang ni.

Dari audio ni, cara-cara untuk menjauhkan jin dan syaitan ialah:


1. Baca surah al-baqarah
2. Azan 7x -10x(dikira pertolongan cemas)
3. Baca ayat kursi dengan 9 tempat berhenti(lihat gambar diatas)
4. Baca yassin 3 malam berturut-turut

Dan..."Barang siapa menggantungkan azimat Allah takkan sempurnakan agamanya".

Monday, January 17, 2011

Pagi yang cerah hari yang indah

Malam tadi abah berhalusinasi lagi, ada orang jauh datang katanya, nak kacau abah.Aku tak pastilah bab yang satu ni, samaada abah berhalusinasi sebab otak kanan abah sedang kacau,atau benar-benar ada gangguan. Tapi benda ni selalunya mula lepas tengah malam dan akan berhenti bila azan subuh berkumandang, serius.

Jadi lepas je azan, ibu minta aku ambil kan wuduk abah, bagi abah bersolat. Barulah abah tidur lena, kemudian lepas aku solat, aku tidur kejap, lepas tu 30 minit tak sampai, abah akan minta aku bagi abah berkumur, jadi pagi tadi agak mudah sebab abah dah boleh duduk betul, kumur-kumur, lepas tu naik ke kerusi roda, tadi terlepas juga pegangan abah, nasib rebah di katil, tapi agak panik jugaklah, sebab aku lebih kurang terhempap abah, sakit badan abah. Pengajaran, kena pastikan abah betul-betul duduk dan ambil nafas. Jadi, pagi ni lepas pindahkan abah ke kerusi roda, bawa abah ke bilik air yang dah 90% siap, alang-alang tu mandikan abah terus, hehe, pertama kali aku berjaya mandikan abah, seorang.

Lepas sarapan, 30 minit kemudian abah pun buat senaman.

Aku ni banyak tawakal sangat, siku abah ada sikit lebam, bahagian kiri, sebab semalam melorot dari kerusi roda,dan aku dudukkan dilantai hai..ya tuhan. Tolonglah jangan ada kecederaan pada abah sepanjang kami menjaga dirumah. Minta sangat Ya Allah.

Lepuh di badan kiri abah, dah kurang, krim yang along belikan tu alhamdulillah mujarab.

Sekarang abah sedang tidur, dan lihat abah tidur memang syurga. Dan ini adalah pagi yang indah buat aku, sebab berjaya mandikan abah.

Alhamdulillah..

Sunday, January 16, 2011

Alhamdulillah

Malam ni lepas maaghrib tadi, Pak Cik Mat, seorang tukang urut pesakit stroke, datang buat hari kedua. Dan malam ni pertama kali aku tolong tengokkan abah sama masa dia mengurut. Dia memang tahu dengan apa yang dia buat, dia tahu kalau abah sesak nafas, urut di bahagian atas telapak tangan. Kalau abah kurang makan, urut perlahan-lahan di atas ibu jari. Dan bila nak angkat abah ke kerusi roda, dudukkan dulu, bagi abah ambil tenaga, lepas tu baru suruh abah diri, suruh abah letak beban badan abah pada bahagian kanan yang kuat tu, pastu suruh abah pusing perlahan-lahan, abah cuma berpaut pada bahu kita,bukan kita angkat abah. Dan begitu juga bila nak letak abah dikatil, lepas berjaya dari kerusi roda ke katil, suruh abah duduk dulu, kemudian suruh abah mengesot sikit-sikit atas katil tu, kemudian baring kan abah mengiring dulu, kemudian baru rebah.

Cuma jari-jari abah yang masih belum tunjuk kemajuan. Tak apa, aku nampak abah boleh senyum dah separuh.

Abah cuma tak kuat saja lagi, cepat penat. Makan pun memang sikit-sikit sangat. Bila abah tak lemah, semuanya agak mudah, bila abah penat, memang agak payah.

Saturday, January 15, 2011

Lembaran baru kini bermula

Abah telah pun keluar dari wad semalam. Aku lihat ibu amat lemah sekali selepas menguruskan proses abah keluar wad. Kalini kami agak bersedia, berbanding kali pertama abah discharge yang segalanya amat kelam kabut sekali. Kali ni walaupun tidak sesempurna mana, tapi aku rasa lebih baik dari 3 minggu lepas. Dan setiap kali aku melihat abah lemah tak berupaya, hati aku bagai disiat dan merintih. Susahnya nak terima dugaan tuhan ni, susahnya nak redha.

Jam dirumah aku hampir kesemuanya dah habis bateri, dah kaku. Macam kakunya sisi kiri abah. Abah peminat jam dinding, abah yang akan beli jam dinding, abah juga yang akan pastikan semua jam tu berfungsi. Mungkin orang kata, alah benda kecil pun nak jadi isu. Bukan isu, aku boleh je minta sesiapa panjat dan pasang bateri, tapi benda kecil macam ni yang dulu aku selalu lepas pandang kini jadi sesuatu yang buat aku sayu. Hati..sila kuat.

Sesampainya abah dirumah, masa tu waktu orang sembahyang jumaat. Kami ambil ambulan dari MAHSA, perkhidmatan ambulan, Dari Hospital Jasin ke Bukit Beruang, rm150. Resit dia aku sangkut tepi dinding, mungkin esok lusa, perkhidmatan ni kami gunakan lagi, kata ibu JPAM juga sediakan perkhidmatan ini dan ianya percuma, tak apalah, peringatan ini ku simpan sebagai ilmu.

Mulanya abah malam tu agak menguji kesabaran ku juga, sebab dia masih mengharapkan anak-anak yang lain untuk datang jaga dia. Terasa pula aku yang disisi ni tak diperlukan, rasa jugak nak angkat kaki balik je. Nasib orang-orang yang aku sms banyak menenangkan aku, abah bukan stabil sangat emosi, kalau turutkan emosi abah, aku juga akan jadi tak rasional. Marah dengan abah dan marah dengan takdir pun ada. Biasalah, syaitan dekat je bila waktu emosi tak stabil ni.

Hati, sila ingat..kita ni hamba, Allah uji sikit je ni.

Petang tu, Pakcik makmor dan isteri, adalah jiran ibu yang anak nya membesar sama dengan aku, pakcik makmor pasangkan takal dan tali dibilik aku, katanya dia pernah jaga ayahnya yang kena stroke lebih teruk dari abah, alhamdulillah senaman guna tali dan takal tu banyak merubah keadaan ayahnya. Masa ni baru aku sedar, pentingnya jiran-jiran.

Ni tandas rumah yang diubah suai agar kerusi roda abah boleh masuk dan mudah untuk kami mandikan abah. Stroke merubah hidup dan juga rumah anda, ye.

Takal nilah yang dipasang, dan aku suka bila pagi ni tengok abah terpaksa buat senaman, yelah, terasa pula macam aku ni jurulatih biggest loser, wakaka.

Harini dah tiga kali aku pindahkan abah dari kerusi roda ke katil dan sebaliknya, kali ke 3 tu agak gagal sampai kena panggil orang yang sedang ubahsuai bilik mandi tu, rasanya mungkin sebab abah dah agak lemah bila tiba waktu petang, dan posisi kerusi roda yang agak silap.

Petang ni memang abah agak lemah, kurang makan dan minum, mungkin kerana abah rasa sukar untuk betulkan posisi duduk waktu makan dan minum, atau mungkin juga banyak bergerak buat abah lemah.

Rasanya esok mungkin lebih elok kami mula balik bagi abah susu Ensure, susu tu cukup dan kenyang bagi abah. Munkin perlu guna straw saja untuk memudahkan.

Ah, memory card reader lupa bawa pula..hmm.Sekarang aku jadi nomad, jadi keperluan asyiklah ter salah atau terlupa ambil.